Home Hiburan AWIE TAHAN SAKIT TEKAK DEMI JAYAKAN KONSERT SOLO

AWIE TAHAN SAKIT TEKAK DEMI JAYAKAN KONSERT SOLO

Kuala Lumpur: Biarpun dibelenggu masalah sakit tekak, penyanyi rock legenda tanah air, Datuk Awie, 58, tetap meneruskan persembahan sehingga ke lagu terakhir.

Memetik laporan Harian Metro, Semangat luar biasa yang diperlihatkan oleh Awie menerusi konsert solo Awie Rock King – Last Man Standing 2026 di Stadium Merdeka, di sini, mengagumkan kira-kira 20,000 penonton yang hadir, malam tadi.

Sebelum menyanyikan lagu Ingatkan Dia bergandingan dengan Akim, Awie sempat memberitahu peminat mengenai masalah kesihatan yang dihadapinya.

“Cuaca jerebu agak teruk menyebabkan saya kena bronkitis (keradangan) kali kedua. Apa pun show must go on,” katanya sambil disambut tepukan bergemuruh penonton.

Vokalis Wings ini berusaha menghiburkan peminat walaupun ada ketika suaranya kedengaran serak, malah ada beberapa ketika dia memegang bahagian tekaknya yang memberi gambaran keperitan dialami.

Melihat situasi ini, ada kalangan penonton berasa risau dengan keadaan Awie kerana bimbangkan keadaannya lebih teruk.

“Berat sungguh dugaan kali ini. Apa pun pasrah, kita teruskan juga dengan apa daya yang ada, insya-Allah kita habiskan juga dengan baik malam ini. Doa-doakan,” katanya.

Menerusi konsert ini, Awie menyampaikan 36 buah lagu yang dibahagikan kepada lima segmen iaitu Kita Bersama, Legasiku, Cinta Dan Filem, Tribute: Last Man Standing (Don’t Forget) dan Tribute To Anak Seni Yang Telah Tiada.

Kesemua persembahan ini menampilkan pemuzik profesional berbeza sebagai pengiring dengan segmen kelima yang juga terakhir menampilkan Awie bersama kumpulan Wings.

Barisan pemuzik itu termasuk Man Kidal, Eddie XPDC, Muzza, Pacai Ekamatra, Addy Cradle, Yan Lefthanded, Shah Slam, Naimi Daini (dram), Fly Halizor, Ritz Metalasia dan beberapa yang lain

Mereka diketuai oleh pemain gitar terkenal Aznan Alias yang bertindak sebagai pengarah persembahan.

Manakala artis yang tampil pada persembahan ini ialah Datuk Hattan, Erra Fazira, Hannah Delisha, Putra Ahmad Merrah, Amir Masdi, Stacy, Black dan Puteri.

Lagu-lagu yang dinyanyikan antaranya Sayap Ilusi, Mata Hati Jiwa, Tiada Rahsia Antara Kita Di Bayang Awan, Sejati dan banyak lagi.

Lebih istimewa, Awie turut menyanyikan lagu terbaharu ciptaannya berjudul Maharaniku sebagai hadiah buat isterinya, Datin Sharifah Ladyana sempena ulang tahun ke-10 perkahwinan mereka.

Dalam pada bergembira, Awie tidak meminggirkan perjuangan rakyat Palestin apabila berduet dengan Amir Masid menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur dalam Tribute: Last Man Standing (Don’t Forget).

Awie turut membacakan doa kesejahteraan kepada rakyat Palestin dan ia nyata membangkitkan emosi kepada penonton.– Harian Metro –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here