BRIGHTON, England: Arsenal mengekalkan pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika gol sumbangan Bukayo Saka, Kai Havertz dan Leandro Trossard memastikan kemenangan 3-0 di Brighton sekali gus melonjakkan mereka semula ke tangga teratas liga awal pagi tadi.
Kemenangan Manchester City sebelum itu menyaksikan Arsenal merudum seketika ke tangga ketiga namun mereka bertindak balas dengan penuh bergaya untuk melepasi satu daripada antara halangan berliku.
Kemenangan ke-10 Arsenal dalam 11 perlawanan terakhir liga membolehkan mereka mengumpul 71 mata daripada 31 perlawanan.
Liverpool, yang akan berkunjung ke Manchester City malam ini, meraih 70 mata, begitu juga juara bertahan Manchester City.
Perbezaan jaringan Arsenal juga jelas terlalu bagus berbanding dua pencabar kejuaraan mereka.
Brighton bermula garang tetapi Arsenal membuka tirai jaringan tidak lama kemudian apabila Saka menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-33 selepas Tariq Lamptey dipersalahkan kerana menjatuhkan Gabriel Jesus dalam kotak penalti.
Arsenal sering mengancam ketika menyerang dan penyokong lawan menyanyi gembira selepas Havertz meledak dari jarak dekat susulan hantaran Jorginho pada minit ke-62.
Bekas pemain Brighton, Trossard, yang masuk sebagai pemain gantian, melengkapkan jaringan apabila menerima lorongan cantik pada lewat aksi.
Ia kekalahan pertama Brighton di laman sendiri dalam liga sejak Ogos lalu.
“Sikap dan tahap sumbangan pemain amat luar biasa dan setiap orang memainkan peranan masing-masing dalam perlawanan – itulah sebabnya kami berjaya ketika ini,” kata Havertz.
“Secara jujur kami tidak bercakap mengenainya (kemenangan City). Kami cuba fokus terhadap diri sendiri dan menang perlawanan, ia lebih penting daripada melihat perlawanan lain ketika ini.
“Kami mesti menang perlawanan kami dan lihat apa yang boleh kami capai. Kami perlu meneruskan rentak, kami ada satu lagi perlawanan besar pada pertengahan minggu.”
Brighton memusnahkan impian Arsenal memburu kejuaraan musim lalu apabila The Gunners mengalami kemerosotan di hujung musim. Namun anak buah Mikel Arteta jelas tidak mahu ia berulang.
Mereka tidak melepaskan sebarang gol dalam lima perlawanan terakhir di gelanggang lawan, menyumbat 20 gol dalam tempoh itu dan hujung minggu lalu mempamerkan karakter mereka apabila seri 0-0 di Manchester City.
Peminat Arsenal menyanyi dalam hujan lebat di pantai selatan dan ketika pasukan mereka masih berdepan beberapa perlawanan sukar selepas ini, kejuaraan pertama sejak 2004 kini kelihatan dalam jangkauan. – REUTERS,BH Online –
Imedikel TV






