Home Sukan ARRC DENDA, PENALTI HAFIZH INSIDEN GARISAN PENAMAT

ARRC DENDA, PENALTI HAFIZH INSIDEN GARISAN PENAMAT

113
0

KUALA LUMPUR: Keterujaan Hafizh Syahrin Abdullah meraikan kemenangan pada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 sedikit tercalar apabila dikenakan denda serta penalti susulan insiden di garisan penamat, semalam.

Memetik laporan Berita Harian, pelumba JDT Racing Team itu dikenakan denda AS$500 (RM1,986) serta penalti satu pusingan bagi perlumbaan seterusnya selepas didapati melanggar peraturan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang.

Insiden berkenaan berlaku apabila Hafizh memperlahankan jenteranya ketika meraikan kemenangan di garisan penamat sehingga hampir menyebabkan pelanggaran dengan pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar yang memecut untuk menamatkan perlumbaan 2.

Situasi cemas itu mencetuskan perhatian penganjur ARRC sebelum mereka membuat keputusan tindakan Hafizh melanggar Artikel 1.21.18 dan Artikel 1.21.2.3.

Susulan itu, pelumba berkenaan dikenakan denda serta penalti satu pusingan yang perlu dilaksanakan pada pusingan seterusnya sebagai hukuman terhadap insiden itu.

Terdahulu, Hafizh mencipta sensasi apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut pada pusingan pembukaan ARRC 2026, sekali gus mengesahkan penguasaannya dalam kategori ASB1000.

Kejayaan berganda itu membolehkan Hafizh mengungguli kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 50 mata maksimum, memberikan kelebihan awal dalam perebutan kejuaraan musim ini.-BH Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here