LONDON: Bernardo Silva mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pemain Portugal dengan jumlah penampilan terbanyak dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas beraksi menentang Chelsea, awal pagi tadi.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, sebelum perlawanan itu, pemain Manchester City berkenaan berkongsi rekod bersama Luis Boa Morte, namun kini dia sudah mengumpul 297 penampilan untuk memintas bekas penyerang Arsenal, Southampton, Fulham dan West Ham itu.
Silva turut berada di hadapan Cristiano Ronaldo yang mencatat 236 penampilan serta kapten Manchester United, Bruno Fernandes dengan 223 aksi.
Penampilannya di Stamford Bridge turut mengukuhkan kedudukan sebagai pemain Portugal dengan kesebelasan utama terbanyak dalam EPL apabila kini mencatat 235 permulaan, iaitu 16 lebih banyak berbanding Boa Morte dan Fernandes, 47 mengatasi Ronaldo serta 60 di hadapan Jose Fonte.
Pemain tengah itu juga mendahului kategori minit permainan dengan 21,118 minit selepas kemenangan 3-0 di Stamford Bridge, berbanding 19,379 minit milik Boa Morte dan Fernandes dan 17,520 milik Ronaldo.
Kapten City itu turut mencatat rekod kemenangan terbanyak oleh pemain Portugal dalam EPL dengan 213 kemenangan, mengatasi Ronaldo (152), rakan sepasukan Ruben Dias (123) dan Fernandes (109).
Setakat ini, Silva sudah meraih 19 trofi utama bersama City termasuk enam kejuaraan EPL, satu Liga Juara-Juara, dua Piala FA, lima Piala Liga, tiga Perisai Komuniti, Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super UEFA, selain mengetuai pasukan menjuarai Piala Liga 2026 mengalahkan Arsenal.
Dia juga kini memburu kejuaraan EPL musim ini selain mengintai peluang menjulang Piala FA apabila City berdepan Southampton pada separuh akhir di Wembley hujung bulan ini. – AGENSI, BH Online-
IMedikel TV






