LISBON: Pengurus Real Madrid, Alvaro Arbeloa menyeru anak buahnya mempamerkan fokus, ketepatan serta persembahan penuh meyakinkan sepanjang 90 minit ketika mereka berhasrat membalas dendam terhadap Benfica pada aksi timbal balik pertama playoff Liga Juara-Juara, awal pagi esok.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, baru sahaja mencatat kemenangan bergaya 4-1 dalam LaLiga ke atas Real Sociedad yang sebelum itu tidak tewas dalam 11 perlawanan, Real tiba di Lisbon dengan rekod tiga kemenangan berturut-turut di bawah kendalian Arbeloa.
Jurulatih dari Sepanyol itu baru dua minggu memegang jawatan ketika Madrid dikejutkan dengan kekalahan 2-4 kepada Benfica pada fasa liga bulan lalu.
Kekalahan itu terbukti mahal apabila Benfica yang mendahului 3-2 namun akan tersingkir, menyaksikan penjaga gol Anatoliy Trubin mara ke depan untuk sepakan percuma dan menjaringkan gol pada minit ke-98, membolehkan pasukan kendalian Jose Mourinho mara ke playoff berdasarkan perbezaan jaringan serta menafikan laluan automatik Real ke pusingan 16 terakhir.
“Untuk menang, kami perlu beraksi dengan amat bagus dan untuk itu, banyak perkara perlu dilakukan dengan tepat.
Kami perlu pertahankan bahagian belakang dengan baik dan serang dengan baik. Fokus kepada situasi bola mati juga penting. Kami mesti beraksi permainan lengkap selama 90 minit,” katanya kepada wartawan semalam.
Bekas pertahanan Real itu turut memuji barisan pemainnya atas peningkatan prestasi pantas sejak beliau menggantikan Xabi Alonso.
“Sejak saya tiba, saya melihat sikap yang sangat positif daripada semua pemain, dan itu sangat penting. Dalam bola sepak, lebih mudah menjadi pengurus berbanding pemain kerana lebih mudah menyatakan apa yang perlu dilakukan daripada melaksanakannya,” katanya.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






