Home Sukan UNITED, CHELSEA NAFI DEKATI KLOPP

UNITED, CHELSEA NAFI DEKATI KLOPP

146
0

LONDON: Manchester United dan Chelsea dilaporkan menafikan dakwaan bahawa mereka berminat mendapatkan khidmat bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, jurulatih dari Jerman itu meninggalkan dunia kejurulatihan sejak berpisah dengan Liverpool pada penghujung musim 2023-24.

Ketika ini, Klopp berkhidmat sebagai ketua global bola sepak bagi Red Bull Group, yang memiliki beberapa kelab di seluruh dunia termasuk pasukan Bundesliga, RB Leipzig.

Jurulatih berusia 58 tahun itu dikatakan gembira dengan peranan semasanya, namun ejennya, Marc Kosicke, tidak menolak kemungkinan Klopp kembali menjadi jurulatih pada masa hadapan.

“Mungkin suatu hari nanti dia akan berkata dia rindu bau bilik persalinan semula,” kata Kosicke dalam temubual bersama Transfermarkt.

“Namun buat masa ini, dia sangat-sangat gembira dengan tugasnya. Sebelum menyertai Red Bull, Jurgen sebenarnya boleh melatih pasukan Amerika Syarikat atau England. Malah, mungkin juga Jerman, jika Julian Nagelsmann belum berada di sana,” katanya lagi.

Kosicke turut mendedahkan bahawa Manchester United dan Chelsea pernah bertanyakan mengenai khidmat Klopp selepas pengendali itu meninggalkan Anfield.

“Malah Chelsea dan Manchester United juga membuat pertanyaan, walaupun Jurgen sudah menjelaskan dengan tegas bahawa dia tidak akan melatih mana-mana kelab lain di England.

“Pertanyaan sebegini terus datang. Dia sangat gembira dengan apa yang sudah dicapainya. Dan ia sesuatu yang istimewa untuk dikenang dalam sejarah sebagai antara segelintir jurulatih yang hanya mengendalikan tiga kelab dan tidak pernah dipecat,” kata Kosicke.

Menurut Sky Sports News, United menafikan dakwaan bahawa mereka pernah membuat pertanyaan mengenai Klopp sebelum ini.

Seperti United, Chelsea juga menafikan pernah menghubungi Klopp berkaitan jawatan pengurus.-Agensi, HMetro Online-

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here