LOS ANGELES: Pelakon Shiloh Nouvel Jolie-Pitt mengemukakan petisyen kepada mahkamah Los Angeles untuk menggugurkan Pitt daripada namanya, lapor BBC.
Anak perempuan bintang Hollywood, Angelina Jolie dan Brad Pitt itu mengambil tindakan undang-undang untuk menjadi Shiloh Jolie pada 27 Mei, tarikh ulang tahunnya yang ke-18.
Angelina Jolie memfailkan perceraian daripada Brad Pitt pada September 2016, tetapi butiran perpisahan mereka belum dimuktamadkan dan perjanjian penyelesaian masih belum dicapai.
Pasangan itu juga kini terbabit dalam proses undang-undang ke atas Chateau Miraval, sebuah kilang wain Perancis yang mereka beli bersama.
Shiloh adalah anak ketiga sulung daripada enam anak bekas pasangan itu, tetapi bukan yang pertama daripada adik-beradiknya yang mahu menggugurkan nama Pitt.
Awal tahun ini, kakaknya Vivienne yang berusia 15 tahun menggugurkan nama keluarga bapa mereka dalam penyenaraiannya dalam program Playbill untuk penerbitan The Outsiders di Broadway.
Menerusi video pada 2023, anak sulung pasangan itu, Zahara boleh dilihat dan didengar memperkenalkan dirinya sebagai Zahara Marley Jolie, semasa menyertai pertubuhan Alpha Kappa Alpha di Kolej Spelman.
Bagaimanapun, Shiloh, yang berlakon sebagai pelakon suara dalam filem animasi Kung Fu Panda 3, adalah yang pertama daripada adik-beradik itu memfailkan petisyen rasmi untuk pertukaran nama yang sah.
Permintaan undang-undang ini dibuat di tengah-tengah perkembangan dalam kontroversi perceraian antara Jolie dan Pitt. Pasangan itu berkahwin pada Ogos 2014.
Jolie memfailkan perceraian selepas kejadian pada 2016, di mana dia berkata, Pitt memegang kepalanya dan menyerang dua anak mereka di dalam kapal terbang.
Pitt juga didakwa mendera secara lisan dan mencurahkan alkohol kepada keluarganya semasa penerbangan dari Perancis ke Los Angeles, katanya.
Pitt bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Pasangan itu terbabit dalam perebutan hak penjagaan yang mengakibatkan Pitt diberikan hak penjagaan bersama pada 2021.
Kedua-dua pelakon itu juga sudah memfailkan saman terhadap satu sama lain.
Percanggahan pendapat antara kedua-duanya termasuk pertikaian mengenai harta dan usaha sama perniagaan, termasuk Chateau Miraval. – AGENSI, HMetro Online –
IMEDIKEL TV






