ROTTERDAM: Algeria mencipta kejutan apabila menewaskan Belanda 1-0 dalam aksi pemanas badan Piala Dunia di Rotterdam, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, walaupun banyak bertahan sepanjang perlawanan, Algeria berjaya mencuri kemenangan menerusi jaringan cantik Anis Hadj Moussa pada minit ke-86.
Pemain itu melepaskan rembatan lencong kaki kiri yang menerjah penjuru atas gawang untuk memisahkan kedua-dua pasukan.
Belanda yang lebih menguasai permainan berulang kali mencipta peluang, namun gagal menewaskan penjaga gol Algeria, Luca Zidane.
Anak kepada legenda Perancis, Zinedine Zidane itu mempamerkan aksi cemerlang dengan beberapa siri penyelamatan penting bagi memastikan gawang Algeria tidak dibolosi.
Prestasi memberangsangkan penjaga gol berusia 28 tahun yang kini beraksi bersama Granada itu turut meningkatkan peluangnya untuk berada dalam senarai akhir Algeria ke Piala Dunia.
Algeria sebelum ini menyenaraikan empat penjaga gol dalam skuad sementara mereka, namun hanya tiga akan dibawa ke Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Utara dari 11 Jun hingga 19 Julai.
Kemenangan itu memberi suntikan keyakinan buat Algeria menjelang sepak mula kejohanan, manakala Belanda pula perlu segera memperkemaskan jentera serangan selepas gagal memanfaatkan penguasaan permainan di hadapan penyokong sendiri.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






