KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi antara negara yang paling unik dalam rantau Asia Tenggara (ASEAN) apabila tidak mempunyai satu pun wakil kelab bola sepak sebagai ahli gabungan dalam struktur keahlian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Memetik laporan Harian Metro, perkara itu didedahkan menerusi pembentangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) oleh Timbalan Setiausaha Agungnya Vahid Kardany pada Kongres Luar Biasa FAM hari ini yang membandingkan struktur keahlian persatuan bola sepak seluruh rantau ASEAN.
Berdasarkan data dipaparkan AFC, FAM mempunyai 14 ahli gabungan terdiri daripada persatuan bola sepak negeri, namun sifar wakil kelab berbanding kebanyakan negara jiran yang memberi ruang kepada kelab untuk menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan dalam badan induk masing masing.
Indonesia misalnya mempunyai 43 kelab sebagai ahli gabungan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), manakala Thailand memiliki 69 kelab dan Singapura 31 kelab.
Vietnam turut mempunyai 39 kelab sebagai ahli gabungan, sementara Myanmar mempunyai 31 kelab dan Filipina 12 kelab.
Situasi itu menyaksikan FAM menjadi satu daripada segelintir persatuan di rantau ini yang masih bergantung sepenuhnya kepada persatuan negeri sebagai komponen utama keahliannya.
Malah, jumlah keseluruhan ahli gabungan FAM juga hanya 20 badan, jauh lebih rendah berbanding Thailand yang mempunyai 70 ahli gabungan, Vietnam (61) dan Indonesia (82).
Pembentangan AFC itu dilihat memberi gambaran jelas mengenai perbezaan struktur pentadbiran bola sepak Malaysia berbanding negara jiran yang lebih banyak mengintegrasikan kelab profesional ke dalam sistem tadbir urus persatuan masing masing.
Pada masa sama, AFC turut mendedahkan selain Malaysia, Persatuan Bolasepak Sri Lanka juga tidak mempunyai wakil kelab sebagai ahli gabungan badan induk bola sepak mereka.-HMetro Online-
IMedikel TV






