Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Kemurungan selepas bersalin (Postpartum Depression – PPD) sering dialami oleh wanita yang baru melahirkan anak.
Keadaan ini berlaku akibat pelbagai faktor yang kadangkala tidak disedari oleh individu di sekeliling mereka.
Emosi ibu yang baru melahirkan anak perlu sentiasa diberi perhatian bagi mengelakkan berlakunya kemurungan, kerana keadaan tersebut boleh menjejaskan kesejahteraan ibu dan perkembangan bayi.
Kemurungan selepas bersalin merupakan gangguan emosi yang serius sehingga menyebabkan ibu berasa sedih, bimbang, tertekan dan putus asa secara berterusan.
Ramai yang mengenali keadaan ini sebagai “baby blues”, namun kedua-duanya adalah berbeza.
Baby blues biasanya bersifat ringan dan sementara, manakala kemurungan selepas bersalin lebih serius serta boleh berlarutan jika tidak diberikan perhatian dan rawatan yang sewajarnya.
Keadaan ini boleh mengganggu aktiviti harian, penjagaan diri, hubungan dengan bayi dan ahli keluarga, malah boleh melambatkan proses pemulihan selepas bersalin.
Menurut laporan Yashoda Hospitals, antara simptom yang boleh berlaku kepada ibu yang mengalami kemurungan selepas bersalin ialah:
- Kerap menangis dan mudah hilang mood.
- Keletihan melampau serta mengalami masalah tidur.
- Sukar berfikir dengan jelas dan menumpukan perhatian.
- Sentiasa berasa bimbang, resah dan mudah panik.
- Kesedihan yang berpanjangan.
- Perubahan selera makan sama ada berkurangan atau berlebihan.
Antara faktor yang boleh menyumbang kepada kemurungan selepas bersalin ialah:
- Tekanan semasa kehamilan – seperti kelahiran pramatang atau masalah kesihatan bayi yang tidak dijangka.
- Trauma kelahiran – komplikasi ketika bersalin atau prosedur kecemasan yang meninggalkan kesan emosi.
- Keletihan fizikal – pemulihan selepas bersalin, pembedahan serta cabaran penyusuan susu ibu.
- Perubahan hormon – penurunan mendadak hormon estrogen dan progesteron selepas kelahiran yang boleh menjejaskan kestabilan emosi.
- Kurang tidur – keletihan berpanjangan boleh menjejaskan emosi, daya tumpuan dan kesihatan mental.
Kemurungan selepas bersalin tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan mental ibu serta kesejahteraan keluarga dalam jangka panjang.
Oleh itu, ahli keluarga perlu peka terhadap simptom yang ditunjukkan oleh ibu selepas bersalin dan memberikan sokongan yang sewajarnya.
Jika keadaan berlarutan atau semakin serius, ibu disarankan mendapatkan bantuan dan rawatan daripada pakar kesihatan bagi memastikan proses pemulihan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
IMedikel TV






