Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Ramai dalam kalangan kita lebih gemar memilih untuk minum air manis ketika berbuka puasa berbanding air kosong atau air putih.
Kenapa ya? Ini mungkin disebabkan mereka beranggapan air manis adalah sebagai penambah tenaga selepas seharian berpuasa.
Sebenarnya air manis seperti teh ais, minuman bergas atau jus buah komersial mengandungi gula tambahan yang boleh memberikan lonjakan tenaga dengan cepat.

Namun, peningkatan tenaga ini hanya bersifat sementara sahaja. Hakikatnya ramai dalam kalangan kita sering mengabaikan pengambilan air putih atau air mineral.
Ya, sudah tentunya air putih tidak mempunyai rasa namun ada manfaatnya seperti yang kita sedia maklum.
Air putih atau air mineral adalah minuman semula jadi yang tidak mengandungi kalori, gula, atau bahan tambahan.
Doktor juga menasihatkan orang dewasa mengambil sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong sehari untuk mengekalkan hidrasi optimum.

Selain itu, pengambilan air manis secara berlebihan juga boleh menyebabkan dehidrasi. Ini kerana tubuh perlu menggunakan lebih banyak air untuk memproses gula yang masuk ke dalam badan.
Jadi, setelah anda membaca artikel kali ini, antara air kosong dan air manis, mana satukah yang lebih baik untuk memastikan tubuh kekal bertenaga dan tidak cepat letih?
Jelas menunjukkan bahawa air kosong adalah pilihan terbaik untuk mengekalkan tahap tenaga dan kecergasan.
Air manis boleh dinikmati sekali-sekala, tetapi pengambilan yang kerap perlu dielakkan terutama bagi mereka yang ingin mengekalkan tenaga sepanjang hari.

Periksa tahap tenaga anda, cepat letih atau tidak adalah bergantung kepada jenis air yang diminum oleh anda, air manis atau air kosong?
IMedikel TV






