KUALA LUMPUR: Penyanyi Aina Abdul, 30, menafikan menjalinkan hubungan cinta dengan juruvideo peribadi seperti tular, baru-baru ini.
Penyanyi lagu Jangan Mati Rasa itu juga memilih tidak menjawab pertanyaan soal peribadi kerana perlu menjaga banyak hati terutama ibunya yang tidak gemar melihatnya diheret kisah cinta.
Calon Top 20 kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 itu berkata, jejaka yang hadir dalam hidupnya akan rugi.
“Saya kena fikirkan perasaan emak kerana tak suka kisah peribadi dijaja.
“Apa boleh saya katakan tiada sesiapa istimewa dalam hati saya. Ini kerana fokus saya hanyalah bekerja dan lelaki yang hadir dalam hidup saya akan rugi,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert jelajah Aina Abdul Imaji Tour di sebuah hotel, di ibu negara, semalam.
Ujar Aina lagi, dia juga bukanlah seorang yang suka berkongsi kisah peribadi dan tidak akan sesekali berbuat demikian.
Katanya, peminat hanya dapat mengenalinya menerusi karya dihasilkan, tetapi tidak ada perkara berkaitan peribadi akan keluar daripada mulutnya.
Lagipun, kata Aina, dia tiada masa memikirkan soal cinta kerana terlalu sibuk dengan kerja terutama membabitkan perancangan untuk konsertnya.
“Cukup kenali saya melalui lagu-lagu saya. Tidak ada apa yang akan keluar daripada mulut saya soal hati.
“Siapa pun dikaitkan dengan saya, jujurnya memang tiada apa-apa antara kami. Saya bekerja dengan orang sama sejak dahulu lagi.
“Saya berani cakap tiada apa-apa antara kami sebab perkara ini memang tak berlaku sama sekali.
“Saya ada banyak benda perlu diselesaikan dan sedang sibuk dengan konsert, selain kumpul lagu untuk album kedua,” katanya yang menyerahkan soal jodoh di tangan Tuhan. – BH Online –
IMedikel TV






