Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA KRAI: Seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah lori jenis Isuzu di Jalan Sungai Sam – Dabong berhampiran Kampung Slow Temiang, kira-kira jam 12.45 tengahari, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata kemalangan berlaku apabila motosikal dari arah Kuala Krai ke Dabong dipercayai hilang kawalan sehingga diseret oleh lori dari arah bertentangan.

“Berikutan jarak yang terlalu dekat, lori tersebut tidak sempat membrek dan telah merempuhnya sehingga terbabas ke bahu kiri jalan.
“Akibat perlanggaran itu, motosikal tersebut telah terbakar dan penunggangnya mengalami kecederaan parah di kepala seterusnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, punca kemalangan terbabit disebabkan kegagalan penunggang motosikal mengawal kenderaannya.
“Kita harap pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan serta had laju yang telah ditetapkan bagi mengurangkan kadar kemalangan di kawasan tersebut,” katanya.
IMedikel TV






