Home Buletin Semasa AHMAD BADRI DILANTIK PENGERUSI BAHARU FELDA

AHMAD BADRI DILANTIK PENGERUSI BAHARU FELDA

19
0

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengumumkan pelantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dilantik sebagai Pengerusi baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

FELDA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kewibawaan, integriti serta pengalaman luas beliau dalam menerajui organisasi strategik dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menurut kenyataan itu, kepimpinan Ahmad Badri diyakini mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan pengurusan serta meneruskan agenda transformasi FELDA selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

Ahmad Badri mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor awam dan korporat sejak menyertai Kementerian Kewangan pada 1989. Beliau turut memegang pelbagai jawatan strategik sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia dari 2018 hingga 2020.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Ahli Lembaga Pengarah di beberapa institusi utama negara, termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketika ini, Ahmad Badri adalah Pengerusi RHB Bank Berhad dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), selain menganggotai Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad.

Dari segi akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Hull, United Kingdom serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

FELDA yakin kepimpinan Ahmad Badri akan terus memperkukuh agenda transformasi Kumpulan FELDA, meningkatkan kemampanan ekonomi serta mencipta nilai lebih besar kepada lebih tiga juta warga peneroka.

Menurut kenyataan itu, kepimpinan beliau juga diharapkan dapat membawa FELDA melakar lebih banyak pencapaian baharu demi memastikan kesejahteraan warga peneroka serta kemakmuran generasi masa depan terus terpelihara.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here