Home Buletin Semasa PDRM TEGAS LARANG PENYALAHGUNAAN IDENTITI RASMI UNTUK TUJUAN KOMERSIAL

PDRM TEGAS LARANG PENYALAHGUNAAN IDENTITI RASMI UNTUK TUJUAN KOMERSIAL

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang penggunaan nama, lambang, imej pegawai polis atau apa-apa identiti rasmi pasukan itu oleh mana-mana individu, syarikat atau organisasi bagi tujuan promosi, pemasaran, pengiklanan atau aktiviti komersial tanpa kebenaran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata identiti rasmi PDRM adalah aset institusi yang perlu dipelihara dan tidak boleh dieksploitasi bagi memperoleh keuntungan atau mewujudkan persepsi yang mengelirukan kepada orang ramai.

“Kehadiran mana-mana pegawai PDRM dalam sesuatu program tidak boleh ditafsirkan sebagai bentuk pengendorsan, sokongan atau pengiktirafan terhadap mana-mana produk, perkhidmatan, pelaburan atau aktiviti komersial.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat andaian bahawa sesuatu produk atau perkhidmatan telah mendapat kelulusan atau sokongan rasmi daripada PDRM hanya berdasarkan penglibatan warga pasukan itu dalam sesuatu program,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang menggunakan identiti rasmi PDRM secara tidak sah atau bagi tujuan yang mengelirukan sehingga mewujudkan persepsi bahawa PDRM mengendors sesuatu produk atau perkhidmatan boleh disiasat dan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Katanya, tindakan itu termasuk siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), tertakluk kepada fakta dan elemen kesalahan yang dapat dibuktikan.

“PDRM kekal komited memelihara integriti, kredibiliti dan identiti rasmi pasukan serta memastikan setiap bentuk kerjasama dengan pihak luar dilaksanakan secara telus, profesional dan selaras dengan undang-undang demi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia,’tegasnya.

IMedikel TV  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here