Home Hiburan ABBY ABADI TIDAK HALANG ANAK SULUNG BERKAHWIN PADA USIA MUDA

ABBY ABADI TIDAK HALANG ANAK SULUNG BERKAHWIN PADA USIA MUDA

158
0

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro pelakon juga anggota kumpulan Elite, Abby Abadi menyifatkan ibu bapa perlu menerima dengan hati terbuka apabila anak sulungnya ingin melangkah ke alam perkahwinan.

Pada hantaran di Instagram, Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, 49, berkata dia tidak menghalang hasrat Mohamed Danish Hakim, 23, untuk berumah tangga pada usia muda kerana menyedari perkara yang baik tidak boleh dilarang.

“Sempat meraikan hari jadi Mohamed Danish Hakim yang ke-23 (24 Mac 2003). Muda lagi anak ini. Tapi bila nak melangkah ke fasa seterusnya, kami ibu bapa menerima dengan hati terbuka.

“Anak-anak sekarang bukan boleh dilarang. Cuma, boleh dinasihat dan terus bagi peringatan. Hidup ini amanah dan tanggungjawab yang Allah amanahkan dan tak semudah yang disangkakan.

“Nak jaga diri pun panjang perjuangannya, apatah lagi bila melibatkan orang lain untuk bersama dalam kehidupan kita,” tulisnya pada hantaran itu.

Abby turut menitipkan pesanan kepada Danish bahawa setiap pasangan harus bertolak ansur, menerima kelebihan dan kekurangan serta saling melengkapi dalam menjalani kehidupan rumah tangga

“Salinglah bertolak ansur, saling menerima kelebihan dan kekurangan, saling melengkapkan pendek kata. Tiada yang sempurna,” katanya.

Turut memohon doa orang ramai, Abby memberitahu jika diizinkan Allah, majlis persandingan Danish akan berlangsung di Malaysia dan di Singapura, tetapi tarikh belum diputuskan.

Semalam, Abby berkongsi berita gembira mengenai majlis pertunangan Danish bersama wanita pilihan asal Singapura dikenali Shalinda melalui hantaran dimuat naik di IG.

Pada beberapa hantaran foto serta video dikongsi memaparkan Abby turut menyarungkan cicin di jari manis Shalinda yang mengenakan persalinan rona guava.

Terdahulu, Abby pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Norman Hakim, 50, pada 2002, namun mereka bercerai pada 2009.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak. Selain Danish, dua lagi cahaya mata mereka ialah Marissa Dania Hakim, 21, dan Maria Danisha Hakim, 18. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here