BARCELONA: Dua jaringan Robert Lewandowski dan gol kemenangan Joao Cancelo membantu Barcelona melakar kebangkitan sensasi mengalahkan Celta Vigo 3-2 sekali gus melonjak ke tangga teratas La Liga Sepanyol awal pagi tadi.-Memetik laporan agensi menerusi berita harian-
Kelab Catalunya itu memasuki 10 minit terakhir ketinggalan dua gol selepas Jorgen Strand Larsen dan Anastasios Douvikas menyumbat gol buat pelawat, yang kelihatan berada di ambang kemenangan mengejut ke atas juara bertahan.

Bagaimanapun penyerang veteran Lewandowski menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit untuk menyamakan kedudukan buat Barca sebelum Cancelo meluru ke dalam kotak penalti untuk menampan masuk gol kemenangan pada minit ke-89.
Jurulatih Celta, Rafael Benitez menerapkan corak bertahan kegemarannya, tidak seperti lawan Barcelona sebelum ini Real Betis dan Royal Antwerp, yang mempamerkan corak menyerang sekali gus membuatkan mereka mudah diratah anak buah Xavi Hernandez.
Barcelona menyumbat 10 gol dalam dua perlawanan terakhir mereka dengan jurulatih Xavi menyatakan ia yang terbaik ketika di bawah pengendaliannya setakat ini, namun persembahan awal pagi tadi ternyata berbeza.
“Saya melakukan banyak kesilapan teknikal, ia tidak biasa dalam permainan saya – saya perlu meningkat, kami perlu meningkat sebagai satu pasukan,” kata Cancelo kepada Movistar.
“Sering kali lebih bagus bermain teruk dan menang, berbanding beraksi baik tetapi tewas, tiga mata paling penting.”
Cancelo, yang mengumpan kepada Lewandowski bagi gol penyamaan pada minit ke-85, meluru menyambut hantaran jauh Gavi empat minit kemudian untuk mengatasi penjaga gol Ivan Villar dengan tindakan penyudah bagaikan seorang penyerang. – AFP
Imedikel TV






