KUALA TERENGGANU: Pengendali kelab Central Coast Mariners, Abbas Saad tetap menyuarakan kebimbangan berdepan Terengganu FC (TFC) sekalipun pasukannya sudah bersedia untuk beraksi pada perlawanan pertama Kumpulan G saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) malam esok.
Tambah bekas pemain tengah menyerang pasukan Johor musim 1991/1992 itu, kualiti pemain TFC selain beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sudah tentu skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu mempunyai kelebihan apatah lagi pasukannya terpaksa menempuhi perjalanan yang agak jauh untuk tiba di sini.
Bagaimanapun bekas pemain kebangsaan Australia kelahiran Lebanon itu tidak mahu mencipta alasan sebaliknya tetap percaya dengan kemampuan dan kredibiliti anak buahnya lebih-lebih lagi persediaan rapi pasukan sudah dilakukan sejak tahun lalu lagi sehingga muncul juara Liga Australia musim lalu.
“Saya memandang ke hadapan pertemuan menentang TFC kerana hasil analisis, corak permainan pasukan ini (TFC) adalah baik sehingga muncul naib juara Liga Super musim lalu selain agak konsisten sejak beberapa perlawanan lalu.
“Jadi saya ingatkan pemain agar berwaspada dan tidak boleh mengambil mudah pertemuan malam esok lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang lawan ditambah kualiti yang ada pemain lawan seperti kapten mereka, Habib Haroon,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.
Sementara itu kapten Central Coast Mariners, Danny Vukovic, menjelaskan dia dan rakan sepasukannya bagaikan tidak sabar untuk menunggu tiupan wisel pertama aksi berkenaan lebih-lebih lagi ia pengalaman pertama beraksi di Kuala Terengganu.
Bagaimanapun bekas penjaga gol kebangsaan Australia itu senada dengan jurulatihnya yang akui perlawanan itu tetap sukar lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan.
-Sumber daripada berita harian-
Imedikel TV






