SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan kebangkitan sensasi selepas berjaya melonjak sembilan anak tangga untuk menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun di tempat ke-12 di Litar Motegi, hari ini.
Memetik laporan harian Metro, bermula dari petak ke-21, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu tidak berputus asa apabila mempamerkan aksi konsisten sepanjang 17 pusingan perlumbaan untuk menamatkan saingan dalam kelompok 12 terbaik sekali gus meraih empat mata berharga.
Hakim Danish ketinggalan 21.273s di belakang pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa yang muncul juara.
Manakala pendahulu kejuaraan, Maximo Quiles daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team, menamatkan saingan di tempat kedua dan Alvaro Carpe daripada Red Bull KTM Ajo melengkapkan podium di tempat ketiga.
Almansa menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 32:45.54s, manakala Quiles hanya ketinggalan 0.046s di belakangnya.
Hakim Danish sebelum ini berdepan kesukaran apabila terjatuh tiga kali di sesi latihan pertama dan kedua.
“Secara keseluruhan, perlumbaan yang begitu sukar bagi saya selepas tiga kali jatuh pada sesi hari Jumaat dan juga Sabtu. Tapi apapun, dalam perlumbaan tadi saya cuba untuk menamatkan perlumbaan dengan baik bagi mendapatkan kedudukan yang terbaik di mana akhirnya saya raih tempat ke-12.
“Kebiasaannya di awal perlumbaan, setiap pelumba cuba mencari ruang untuk pergi ke hadapan dan saya cuba juga untuk mencari ruang memotong, tetapi agak tipis. Saya kemudian dapat mengawal segala situasi dengan baik dan meningkatkan kelajuan untuk mengejar kelompok depan.
“Saya amat menantikan perlumbaan seterusnya di Indonesia dan akan cuba untuk pulih sepenunya daripada rasa sakit di bahu. Ketika perlumbaan tadi saya rasa agak kurang selesa,” katanya.
Sementara itu, seteru utamanya dari Indonesia, Veda Pratama yang mewakili Honda Team Asia, menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 untuk meraih lima mata berharga.
Hakim Danish kini mengumpul 105 mata untuk kekal di tangga ketujuh keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3. – HMetro Online –
IMedikel TV






