Home Buletin Semasa PELAJAR MAUT DI SEKOLAH: IRENE SOFIYA CEDERA BEBERAPA BAHAGIAN MUKA, BADAN –...

PELAJAR MAUT DI SEKOLAH: IRENE SOFIYA CEDERA BEBERAPA BAHAGIAN MUKA, BADAN – KETUA POLIS JOHOR

Oleh: Wartawan IMedikel TV

BATU PAHAT: Pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, mengalami keadaan cedera di beberapa bahagian kepala dan badan sebelum ditemui meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah di sebuah dewan sekolah kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kira-kira jam 7 malam hari sama di sekitar Pekan Yong Peng selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebuah beg, sepasang pakaian dan sepasang selipar bagi membantu siasatan.

“Semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, proses bedah siasat terhadap mayat mangsa dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan motif kejadian masih dalam siasatan polis.

“Suspek telah dibawa ke hadapan Majistret Mahkamah Batu Pahat pada hari ini dan kemudian membenarkan suspek direman selama enam hari, hingga 9 Oktober depan bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Polis Johor turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline Polis Johor di 019-2792095 serta talian Bilik Gerakan Polis Kontinjen Johor di 07-2212999.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here