Kuala Lumpur : Pelakon dan pelawak, Enot, mendedahkan tindakannya yang kembali aktif menghasilkan konten di media sosial adalah salah satu usahanya untuk mencari rezeki selepas jarang mendapat tawaran lakonan.
Memetik laporan Harian Metro, Menurut Enot atau nama sebenarnya Aliza Abdullah, 48, walaupun sudah lama tidak mempunyai tawaran berlakon, pendekatan berkenaan sekurang-kurangnya memastikan namanya terus dikenali ramai dan membuka peluang kepada rezeki baharu.
“Kita kena aktif balik sekarang ini (sebab) kita mencari rezeki pun agak keras, kita buat konten itu untuk ada kerja-kerja ini. Walaupun saya tiada ‘job shooting’ lagi dah tetapi orang masih lagi mengenali saya.
“Sebenarnya sekarang ini zaman kalau anda semua tahu, bukan saya sahaja, orang-orang yang bukan artis pun ramai sahaja yang buat konten menari, cuma dia bukan artis. Tetapi saya bersyukur satu sahajalah, orang masih mengenali saya. Walaupun dikecam teruk, ini dugaan saya,” katanya menerusi temubual di Melodi TV3.
Menurut Enot, dia kini lebih terbuka mempertahankan dirinya berbanding dahulu kerana mempunyai hak sebagai manusia dan menasihatkan individu yang ingin memberi teguran supaya tidak menggunakan akaun palsu sebaliknya bersemuka dengannya.
Dalam pada itu, Enot turut berkata, suatu hari nanti dia pasti akan kembali berhijab dan dia sentiasa cuba untuk menjadi manusia yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Setiap nasihat yang orang bagi dekat saya, saya terima dengan hati terbuka. One day (Suatu hari nanti) saya pasti saya akan kembali berhijab.
“Bila Allah kata terjadinya perkara itu, (maka) terjadilah. Tetapi saya berusaha untuk menjadi lebih baik sebelum ini. Bukan kata sepanjang hayat saya nak jadi seperti ini, tidak. Setiap orang nak perubahan dalam kehidupan. Sama juga dengan saya, saya pun mencari jalan keredaan Allah,” katanya lagi.
Bagaimanapun, pelakon filem Laila Isabella ini turut meluahkan rasa sedih apabila ada pihak yang menuduhnya lupa diri ketika sihat, sedangkan dia sentiasa mengadu kepada Allah tanpa pengetahuan umum.
“Komen itulah saya cakap tadi, dia cakap saya lupa Tuhan, bila saya sakit saya menangis. Setiap malam pun saya menangis.
“Setiap malam pun saya minta doa pada Allah supaya iman saya dikuatkan tetapi saya gagal, tidak kira saya sihat atau sakit ke, saya memang menangis setiap malam. Orang tidak tahu, takkan saya nak tunjuk. Anda semua tidak tahu apa yang saya tempuh,” ujarnya.
Dalam masa sama, Enot turut memberi amaran tegas kepada warganet agar menjaga pertuturan dan tidak melontarkan kata-kata kesat yang melampau terhadap dirinya.
Terdahulu, penampilan Enot di media sosial mencuri perhatian warganet sekali gus ada yang mempersoalkan penampilannya yang kini tidak lagi mengenakan hijab.-HMetro Online-
IMedikel TV






