Lisbon: Pelumba berbasikal Britain, Finlay Tarling, 19, maut dalam kemalangan ketika menyertai peringkat kelapan Tour of Portugal.
Memetik laporan AFP Menerusi Harian Metro, Tarling yang mewakili NSN Development Team meninggal dunia selepas terbabit dalam ‘kemalangan serius’ pada perlumbaan dari Melgaço ke Fafe, menurut penganjur.
Majlis penyampaian podium turut dibatalkan sebagai tanda hormat dan berkabung susulan tragedi berkenaan.
Jurucakap Pengawal Republikan Kebangsaan Portugal (GNR), Tiago Machado berkata, kemalangan berlaku membabitkan seorang pelumba basikal dan kenderaan ringan di bahagian belakang kelompok pelumba.
“Kami masih belum mengetahui keadaan sebenar bagaimana kejadian itu berlaku. Kami akan menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita.
Machado turut berkata, terdapat ‘kehadiran polis yang ramai’ sepanjang perlumbaan berkenaan.
Penyiar Portugal, RTP yang menyiarkan perlumbaan itu melaporkan Tarling terbabit dalam perlanggaran secara berdepan dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan yang tidak mempunyai kaitan dengan perlumbaan.
Perlumbaan itu kemudian digantung ketika berbaki kira-kira 20 kilometer, lapor RTP.
Pegawai keselamatan Tour of Portugal, Jose Marques berkata, pihaknya sentiasa cuba memperbaiki papan tanda jalan sebelum setiap peringkat bagi ‘memberikan perlindungan maksimum kepada pelumba”.
“Namun, ada perkara yang tidak boleh kami kawal seperti trafik. Trafik dikawal oleh pasukan keselamatan pada tahap tertentu.
“Kami akan mengetahui lebih lanjut kemudian, tetapi apa yang berlaku ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena sehingga kejadian seperti ini berlaku,” katanya kepada RTP.
Presiden Persekutuan Berbasikal Portugal yang juga penganjur perlumbaan, Candido Barbosa berkata keselamatan pelumba sentiasa menjadi ‘keutamaan utama’.
“Ini adalah detik paling sukar dalam hidup saya, sebagai bekas atlet dan kini sebagai presiden Persekutuan Berbasikal Portugal.
“Saya mahu semua pelumba terus kuat ketika menghabiskan perlumbaan ini,” katanya.
NSN Development Team mengesahkan kematian Tarling selain menyampaikan ucapan takziah kepada ibu bapanya serta abangnya, Josh, yang turut berbasikal bersama pasukan Netcompany-Ineos.
“Fin sangat disayangi dalam pasukan kami tetapi lebih penting lagi, dia adalah seorang anak, adik-beradik dan sahabat kepada ramai orang.
“Dia akan sangat dirindui,” kata pasukan itu menerusi media sosial.
British Cycling turut menyifatkan berita kematian Tarling sebagai sesuatu yang ‘menghancurkan hati’.
“Fin adalah pelumba yang sangat berbakat dengan masa depan cerah, rakan sepasukan yang setia dan seorang anak muda yang hebat,” katanya menerusi Facebook.
Perdana Menteri Portugal, Luis Montenegro turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan pasukan Tarling, sambil menyifatkan berita kematian pelumba itu ‘amat mengejutkan’.
NSN Development Team turut dimiliki bersama bekas bintang bola sepak Barcelona, Andres Iniesta.-HMetro Online-
IMedikel TV






