KUALA TERENGGANU: Bermula sebagai rakan latihan sejak di bangku sekolah, kini Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri dan Farid Redzuan Mohd Zaubidi kembali berkongsi satu lagi pentas penting dalam perjalanan karier mereka bukan sahaja sebagai atlet angkat berat, tetapi juga sebagai rakan sekelas di Universiti College TATI (UC TATI).
Di sebalik sasaran memburu pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, kedua-dua atlet Terengganu itu turut menggalas satu lagi cabaran besar apabila perlu mengimbangi komitmen sebagai pelajar sepenuh masa.
Bagi Muhammad Shah Jeh’an, perjalanan menggabungkan akademik dan sukan bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila jadual latihan padat serta keperluan menyertai kejohanan perlu diuruskan sepanjang tempoh pengajian.
“Bukan mudah untuk memberi fokus kepada kelas dan latihan dalam masa yang sama. Sejak semester pertama lagi kami sudah perlu membahagikan masa dengan banyak kejohanan dan program latihan.
“Tetapi kami bersyukur kerana sistem pembelajaran di UC TATI memberi ruang kepada atlet seperti kami untuk terus beraksi tanpa mengabaikan pelajaran. Kami masih pelajar sepenuh masa dan sasaran kami adalah untuk tamat pengajian mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Bagi Farid Redzuan pula, sokongan padu daripada pihak pengurusan serta pensyarah UC TATI menjadi antara faktor penting yang membantu mereka meneruskan perjuangan sehingga ke pentas terakhir SUKMA.
Menurutnya, perjalanan bersama dalam program pembangunan angkat berat sejak bertahun lalu membentuk kekuatan mental untuk menghadapi cabaran terbesar mereka kali ini.
“Kami sudah melalui banyak perkara bersama sejak menyertai program latihan SUKMA. Ada masa susah, ada masa senang, tetapi impian kami tetap sama iaitu pingat emas.
“SUKMA Selangor 2026 adalah penampilan terakhir kami. Ini peluang terakhir untuk membuktikan kepada keluarga, jurulatih dan semua yang telah berkorban bersama kami bahawa segala usaha selama ini berbaloi,” katanya.
Farid yang mula menyertai program angkat berat sejak 2019 sebelum membuat penampilan sulung di SUKMA Sarawak 2024 mengakui temasya kali ini mungkin menjadi noktah terakhir dalam kariernya sebagai atlet.
“Selepas ini, saya sendiri belum pasti bagaimana perjalanan saya dalam sukan ini. Mungkin ini adalah penghujung perjalanan saya sebagai atlet,” katanya.
Pada edisi ke-22 SUKMA nanti, Terengganu mempertaruhkan seramai 16 atlet angkat berat membabitkan lapan atlet lelaki dan lapan atlet wanita yang akan beraksi dari 16 hingga 20 Ogos 2026 di Dewan Seri Cempaka, Hulu Langat.
Sebelum ini, skuad angkat berat Terengganu mencipta kejayaan membanggakan pada SUKMA Sarawak 2024 apabila Muhammad Izzan Ismadi memecahkan rekod kebangsaan sebelum menghadiahkan pingat emas dalam kategori 96 kilogram (kg) lelaki.
Turut mencuri perhatian ialah Nur Alissa Sofea Mohamadnor Wardi yang menyumbang emas dalam kategori wanita 71kg selepas merekodkan angkatan keseluruhan 166kg menerusi disiplin snatch (71kg) dan clean & jerk (95kg).
Kejayaan itu membantu Terengganu menutup tirai saingan angkat berat SUKMA Sarawak 2024 dengan kutipan empat pingat emas dan dua perak.
IMedikel TV






