Home Luar Negara ISRAEL SERANG SEMULA SELATAN LUBNAN KETIKA RUNDINGAN DAMAI BERLANGSUNG

ISRAEL SERANG SEMULA SELATAN LUBNAN KETIKA RUNDINGAN DAMAI BERLANGSUNG

BAITULMAQDIS: Tentera Israel pada Rabu menyambung semula serangan di selatan Lubnan walaupun rundingan damai antara kedua-dua pihak sedang berlangsung di Rom.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, serangan terbaharu itu, yang turut disusuli amaran pemindahan pertama dalam tempoh beberapa minggu, berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) mengetuai rundingan antara Israel dan Lubnan di Rom bagi menamatkan permusuhan.

Sementara itu, Beirut pula menuntut pengunduran berperingkat tentera Israel dari selatan negara itu.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melancarkan serangan tepat di selatan Lubnan sebagai tindak balas terhadap apa yang didakwa sebagai pelanggaran jelas gencatan senjata oleh Hizbullah.

Sebelum itu, tentera Israel mengarahkan penduduk di pekan Mansouri di selatan Lubnan supaya segera berpindah. 

Media kerajaan Lubnan melaporkan seorang maut dan 11 lagi cedera dalam satu lagi serangan berasingan.

Sementara itu, di Rom, satu sumber yang terbabit dalam rundingan memaklumkan kepada AFP bahawa Israel meminta sesi rundingan dengan Lubnan pada hari itu ditamatkan tiga jam lebih awal.

Menurut sumber itu, ketua delegasi Israel yang juga Duta Besar AS, Yechiel Leiter, mendakwa tindakan itu dibuat susulan kebocoran maklumat yang mengelirukan oleh pihak Lubnan.

Bagaimanapun, rundingan dijangka disambung semula pada Khamis, yang juga hari ketiga dan terakhir sesi perbincangan.

Dalam rundingan yang ditaja AS pada Jun lalu, Israel dan Lubnan mencapai persetujuan rangka kerja merangkumi pelucutan senjata Hizbullah, pengunduran berperingkat tentera Israel dari selatan Lubnan serta penempatan tentera Lubnan di kawasan berkenaan, bermula di zon perintis.

Rundingan minggu ini adalah pusingan ketujuh sejak Hizbullah melancarkan serangan roket ke atas Israel pada Mac lalu sebagai tanda sokongan kepada sekutunya, Iran, sekali gus mengheret Lubnan ke dalam konflik di Asia Barat.

Israel kemudian membalas dengan melancarkan serangan udara besar-besaran serta operasi darat yang menurut Lubnan telah mengorbankan lebih 4,300 orang.

Dalam amaran pertama seumpamanya sejak Jun lalu, tentera Israel mengarahkan penduduk Mansouri supaya segera meninggalkan kediaman masing-masing.

Jurucakap tentera Israel bagi bahasa Arab, Ella Waweya, berkata, tindakan itu diambil susulan dakwaan Hizbullah melanggar perjanjian gencatan senjata.

“Demi keselamatan anda, sila kosongkan rumah dengan segera dan bergerak ke arah utara,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Pada malam sebelumnya, agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan lebih 800,000 penduduk yang sebelum ini dipindahkan akibat konflik di Lubnan mula pulang ke kediaman masing-masing susulan keadaan yang lebih tenang, namun lebih 360,000 orang masih belum dapat pulang.

Sejak perang antara Israel dan Hizbullah tercetus pada awal Mac, tentera Israel kehilangan 38 anggota serta seorang kontraktor awam. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here