KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mengakui tidak dapat membayangkan penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara tanpa kehadiran Noraniza Idris apabila menyifatkan Ratu Irama Tradisional itu sebagai pejuang seni yang paling layak berkongsi pentas bersamanya.
Memetik laporan Berita Harian, Siti berkata, sejak awal perancangan konsert, beliau sudah menetapkan Noraniza atau mesra disapa Kak Ani sebagai artis pertama yang mahu dijemput kerana jasa besarnya dalam memperjuangkan irama tradisional tanah air.
“Memang dari awal lagi dalam hati saya mahu menjemput Kak Ani kerana beliau seorang pejuang irama tradisional.
“Saya tahu semua peminat menantikan lagu Hati Kama didendangkan semula oleh kami. Alhamdulillah, Kak Ani menerima jemputan itu dengan baik dan saya sangat gembira.
“Saya harap penonton dapat mendengar Hati Kama versi asal yang kami nyanyikan bersama,” katanya pada sidang media Konsert Tradisional Gema Bumantara di sini, semalam.
Dalam pada itu, Siti berkata, konsert yang disifatkan sebagai antara pementasan tradisional terbesar pernah diusahakannya itu tidak akan terasa lengkap tanpa penyertaan Noraniza yang menjadi ikon irama Malaysia dan muzik etnik sejak lebih tiga dekad lalu.
“Bila saya kata ini konsert tradisional terbesar, saya rasa memang tidak lengkap kalau tiada Kak Ani.
“Lebih-lebih lagi peminat memang rindukan persembahan Hati Kama versi asal.
“Saya sangat gembira kerana dapat merealisasikannya. Saya tidak tahu bila lagi akan dapat menghasilkan konsert tradisional sebesar ini, jadi saya mahu semua pejuang irama tradisional bersama-sama berada di pentas ini,” katanya dalam nada sebak.
Kemunculan Noraniza sebagai artis undangan dilihat cukup signifikan memandangkan beliau antara figura paling berpengaruh dalam memperjuangkan muzik tradisional dan etnik Malaysia, sekali gus menjadikan gandingan mereka menerusi lagu Hati Kama antara persembahan yang paling dinantikan peminat pada konsert berkenaan.
Penyertaan beliau juga dijangka menghidupkan lagi persembahan Gema Bumantara, selain mengimbau nostalgia kerjasama erat bersama Siti menerusi lagu malar segar Hati Kama, yang pernah mencipta kejayaan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Terdahulu, Siti dan Noraniza pernah berkolaborasi menerusi album Seri Balas yang diterbitkan pada tahun 1999 di bawah Suria Records.
Album terbitan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah itu turut melahirkan lagu malar segar, Hati Kama. Kali terakhir Siti dan Noraniza membuat persembahan bersama dipercayai lebih dua dekad lalu pada sebuah majlis anugerah muzik berprestij tanah air.
Sementara itu, Noraniza mengakui tidak pernah meletakkan harapan untuk menerima pelawaan menyertai konsert berkenaan, malah sudah merancang membeli tiket bagi menyaksikannya sebagai penonton.
Noraniza berkata, panggilan diterima daripada pengurus Siti, Rozi Abdul Razak pada mulanya disangka sekadar jemputan menghadiri konsert.
“Saya memang mahu membeli tiket sebaik sahaja tahu Siti mengadakan konsert ini.
“Bila Rozi menghubungi saya, saya sangka dijemput sebagai penonton. Rupanya dia mengajak saya berkongsi pentas dengan Siti.
“Saya benar-benar terkejut dan hanya mampu bersyukur kerana sudah lama merindui peluang menyanyikan Hati Kama bersama Siti,” katanya.
Tambah Noraniza, beliau terus menerima tawaran itu tanpa berfikir panjang.
“Saya terus bersetuju ketika itu juga. Saya beritahu Kak Rozi, sampaikan salam kepada Siti dan saya akan menyokong apa sahaja yang dilakukan.” ujarnya.
Pada acara itu, Siti turut mengumumkan Haziq Rosebi serta dua penyanyi Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar sebagai penyanyi undangan. – BH Online –
IMedikel TV






