MADRID: Real Madrid sedang menanti jawapan daripada Vinicius Junior selepas menawarkan kontrak baharu dengan tambahan lebih 19 juta pound (RM104.5 juta) setahun bagi memastikan bintang Brazil itu terus kekal di Santiago Bernabeu.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, kontrak semasa pemain berusia 26 tahun itu akan tamat pada penghujung musim depan dan Arsenal sudah memaklumkan bahawa mereka bersedia mendapatkan khidmatnya sekiranya rundingan Vinicius dengan gergasi Sepanyol itu gagal mencapai persetujuan.
Perbincangan antara wakil Vinicius, pengarah umum Real Madrid, Jose Angel Sanchez, dan ketua pencari bakat, Juni Calafat, berlangsung di Madrid semalam.
Pengendali baharu Real Madrid, Jose Mourinho turut menegaskan Vinicius kekal berada dalam perancangannya untuk musim akan datang.
Real Madrid kini dilaporkan semakin yakin mampu mengekalkan khidmat pemain sayap itu.
Bagaimanapun, Vinicius mencetuskan tanda tanya apabila memadam keseluruhan sejarah hantaran di akaun Instagram miliknya pada Rabu malam.
Akaun yang mempunyai 63.9 juta pengikut itu kini tidak lagi memaparkan sebarang gambar, biodata mahupun gambar profil.
Tindakan dramatik itu, yang bukan sesuatu yang luar biasa dalam kalangan pemain bola sepak, boleh ditafsirkan dalam pelbagai cara, namun sering dikaitkan dengan rasa tidak puas hati terhadap situasi semasa di kelab.
Semua gambar latihan dan aksi bersama Real Madrid yang sebelum ini memenuhi akaunnya turut dipadam.
Arsenal pula terus memantau perkembangan berkenaan dengan harapan dapat memanfaatkan keadaan.
The Gunners membuat pertanyaan awal mengenai Vinicius minggu lalu, manakala pengurus Mikel Arteta menegaskan juara Liga Perdana Inggeris itu akan bertindak “sangat bercita-cita tinggi” dalam jendela perpindahan musim panas.
Namun, laporan pada Rabu menyatakan Real Madrid semakin yakin dapat menangkis minat Arsenal, lebih-lebih lagi dengan sokongan terbuka Mourinho.
Salah satu isu utama dalam rundingan ialah nilai bayaran menandatangani kontrak baharu yang diminta kem Vinicius.
Bagaimanapun, peningkatan tawaran terbaharu Real Madrid dilihat sudah cukup meyakinkan kelab bahawa pemain itu akan terus mengikat masa depannya bersama Los Blancos.
Real tidak mahu kehilangan Vinicius secara percuma memandangkan kontraknya kini berbaki kurang setahun.
Pemain itu dikatakan menganggap kontrak baharu tersebut sebagai perjanjian paling penting dalam kariernya serta pengiktirafan terhadap sumbangannya sejak menyertai Real Madrid pada tahun 2018, yang menyaksikannya muncul sebagai calon utama Ballon d’Or.
Vinicius kembali menyertai kem latihan pramusim Real Madrid pada Isnin untuk menjalani pemeriksaan perubatan serta menjalani sesi latihan pertama di bawah kendalian Mourinho. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






