Home Buletin Semasa JIM RAMPAS 119 DOKUMEN DIPERCAYAI PALSU

JIM RAMPAS 119 DOKUMEN DIPERCAYAI PALSU

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekali lagi berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan apabila menahan tiga warga Indonesia, termasuk dalang utama, dalam satu operasi khas di Taman Sri Kuching dan Taman Bukit Cheras di sini, Selasa lalu.

Operasi bermula kira-kira jam 11 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil maklumat awam serta risikan selama sebulan.

JIM dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket, selain seorang lelaki dan seorang wanita yang disyaki ahli sindiket.

Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun.

“Semakan awal mendapati dalang utama memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi sektor pembinaan, manakala dua lagi suspek didapati tinggal lebih masa di negara ini.

“Dalam serbuan itu, JIM turut merampas 119 naskhah pasport yang dipercayai dipalsukan membabitkan 85 pasport Indonesia, tujuh pasport Bangladesh, 22 pasport Myanmar, dua pasport Vietnam, satu pasport Nepal dan dua pasport India,” menurut kenyataan itu.

Turut disita sebuah mesin pencetak, beberapa telefon bimbit serta wang tunai RM1,500 yang dipercayai hasil kegiatan sindiket berkenaan.

Menurut kenyataan itu, sindiket terbabit menawarkan perkhidmatan kepada warga asing di sekitar Lembah Klang yang gagal melepasi saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA) atau diklasifikasikan sebagai tidak layak (unfit).

“Pasport mangsa kemudian dipinda atau diubah suai bagi membolehkan mereka menggunakan dokumen berkenaan semasa menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM80 hingga RM130 bagi setiap pasport yang dipalsukan,” jelas kenyataan itu.

JIM memaklumkan, tangkapan kali ini adalah yang kelima membabitkan sindiket menggunakan modus operandi sama dan dipercayai aktif beroperasi sejak awal tahun ini.

“Dalang utama disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, manakala dua lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

JIM menegaskan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan melanggar undang-undang imigresen demi memastikan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara.

IMedikel TV


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here