Oleh: Wartawan IMedikel TV
SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi dua pertiga iaitu 25 kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke 16, semalam.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan penuh PRN Negeri Sembilan ke 16 telah dijalankan dengan bebas, adil dan telus.
Katanya BN memperolehi 18 kerusi DUN, Pakatan Harapan (PH) meraih 11 kerusi DUN dan PN mendapat tujuh kerusi DUN.
“Pada PRN Negeri Sembilan ini, seramai 646,084 pengundi atau 72.64 peratus telah mengundi.
“Jumlah tersebut meliputi jumlah pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa yang telah mengundi.
“Secara keseluruhannya, SPR berpuas hati dengan proses pengundian yang berlangsung pada 1 Ogos 2026 (Sabtu) dan pengundi-pengundi berdaftar telah dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka,”katanya dalam kenyataan di sini pada lewat malam tadi.
Ramlan menegaskan, pada PRN Negeri Sembilan juga tidak berlaku sebarang perkara-perkara yang tidak diingini yang boleh menjejaskan proses pilihan raya.
“Dalam melaksanakan urusan pilihan raya, SPR sentiasa mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Untuk keterangan lanjut berkenaan keputusan PRU Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 boleh disemak melalui aplikasi MySPR Semak atau sila layari dashboard.spr.gov.my,”katanya.
Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran terbaharu di Facebooknya memaklumkan sejurus berakhirnya proses pengiraan undi PRN Negeri Sembilan, beliau telah dititah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap, Seremban.
Katanya dalam sesi menghadap tersebut, beliau telah mempersembahkan kepada Tuanku hasil keputusan pilihan raya serta kesepakatan yang dicapai antara BN dan PN.
“Atas perkenaan Tuanku, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional akan membentuk Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu.
“Barisan Nasional menjunjung kasih atas perkenan Tuanku dan akan melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri serta prinsip kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Sembilan.
“Barisan Nasional akan terus menjunjung tinggi, memelihara dan menghormati institusi diraja sebagai payung kedaulatan negeri, lambang perpaduan rakyat serta teras kepada sistem Raja Berperlembagaan.
“Semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat, kebijaksanaan dan inayah-Nya kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam memayungi Negeri Sembilan Darul Khusus serta seluruh rakyatnya,”katanya
Dalam pada itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebooknya mengucapkan tahniah kepada BN atas mandat yang diberikan rakyat Negeri Sembilan.
Beliau turut mengucapkan penghargaan setingginya kepada seluruh pengundi yang telah bersungguh-sungguh ikut serta dalam praktik demokrasi yang baru selesai.
“Penghargaan juga kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan dan Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar selama lapan tahun.
“Alhamdulillah, sepanjang tempoh tersebut, PH telah meninggalkan legasi pentadbiran yang cemerlang berteraskan tatakelola baik, kestabilan serta pembangunan yang memanfaatkan rakyat. Semoga legasi ini terus diperkukuh demi kemajuan Negeri Sembilan.
“Kerajaan Persekutuan akan terus memberi dukungan dan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu demi kesejahteraan serta kemakmuran negeri dan rakyat keseluruhannya,”katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan ke 16 juga, dua pemimpin kanan PH iaitu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah yang disandangnya sejak 2008.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan tewas kepada satu-satunya saingan beliau daripada BN, Siow Kong Choon.
Selain itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun juga tewas kepada calon BN, Datuk Mohd Faizal Ramli di DUN Linggi.
Aminuddin, yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, beralih ke Linggi pada PRN kali ini, selepas menyandang kerusi DUN Sikamat selama empat penggal.
IMedikel TV






