Home Buletin Semasa ISMEC PANTAI TIMUR SEDIA RAWATAN KOMPREHENSIF UNTUK AHLI SUKAN CEDERA

ISMEC PANTAI TIMUR SEDIA RAWATAN KOMPREHENSIF UNTUK AHLI SUKAN CEDERA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Klinik Perubatan Sukan UIAM (ISMEC), klinik perubatan sukan pertama di Pantai Timur, kini menyediakan kemudahan rawatan moden dan komprehensif kepada atlet serta masyarakat umum di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, SASMEC @ IIUM, di sini.

Pengarah Hospital SASMEC @ IIUM, Profesor Datuk Dr Mohamed Saufi Awang berkata, cadangan penubuhan ISMEC bermula pada tahun 2022 dengan matlamat menyediakan rawatan khusus kepada atlet yang mengalami kecederaan sukan, termasuk rehabilitasi, pembedahan seperti kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) serta perkhidmatan sains sukan bagi membantu pembangunan aspek kekuatan dan kecergasan atlet.

Menurutnya, ISMEC turut menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa institusi terkemuka dalam dan luar negara seperti Aspetar, Institut Sukan Negara (ISN) serta Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kita bukan sahaja memberi tumpuan kepada atlet, malah ISMEC turut menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat umum termasuk warga emas dan kanak-kanak.

“Di Klinik Pakar Perubatan Sukan, pelbagai kemudahan rawatan dan pembedahan disediakan bagi membantu pesakit yang mengalami kecederaan, khususnya berkaitan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian ISMEC dan penamaan semula Unit Reproduktif SASMEC @ IIUM yang disempurnakan Tengku Ampuan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut hadir, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.

Dr Mohamed Saufi berkata, kewujudan ISMEC membolehkan atlet tempatan mendapatkan rawatan berkualiti tinggi tanpa perlu ke luar negara, sekali gus mengurangkan kos rawatan yang sebelum ini lebih membebankan.

“Saya yakin ISMEC mampu menyediakan perkhidmatan rawatan dan pembedahan bertaraf antarabangsa setanding dengan hospital terkemuka di luar negara,” katanya.

Pada majlis sama, Unit Reproduktif SASMEC @ IIUM (RUS) secara rasmi dinamakan semula sebagai Tunku Azizah Advanced Reproductive Unit SASMEC @ IIUM (TiARA).

Untuk rekod, SASMEC @ IIUM turut mencipta sejarah menerusi pelancaran Pusat Susu Bonda Halimatussaadia pada tahun 2022, iaitu pusat susu ibu patuh syariah pertama di negara ini yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.

Sepanjang sedekad beroperasi, SASMEC @ IIUM sudah mencatat pelbagai kejayaan termasuk kecemerlangan dalam penjagaan pesakit, perluasan perkhidmatan klinikal pakar, pengiktirafan di peringkat kebangsaan serta pengukuhan kerjasama bersama komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here