Home Buletin Semasa PERSIAP PENJARA PENOR SEDIA 1.5 TAN DURIAN, ERAT UKHUWAH SESAMA AHLI

PERSIAP PENJARA PENOR SEDIA 1.5 TAN DURIAN, ERAT UKHUWAH SESAMA AHLI

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Persatuan Isteri, Anak dan Anggota serta Kakitangan Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) Cawangan Penjara Penor menganjurkan Pesta Makan Durian dengan menyediakan lebih 1.5 tan durian pelbagai jenis untuk dinikmati ahlinya di Dewan Sendayan, Penjara Penor, di sini semalam.

Pengerusi PERSIAP Cawangan Penjara Penor, Penolong Penguasa Penjara (PPP) Salbiah Hassan berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan menzahirkan rasa syukur, penghargaan dan kebajikan kepada ahli PERSIAP atas komitmen serta sokongan berterusan terhadap persatuan.

Menurutnya, penganjuran program itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli PERSIAP dengan pengurusan Penjara Penor yang sentiasa memberikan kerjasama dalam menjayakan pelbagai aktiviti.

“Sempena musim durian yang kini berada di kemuncak pengeluaran, kami mengambil peluang menganjurkan pesta ini bagi memeriahkan lagi program. Ahli yang hadir bebas memilih sendiri buah durian yang disediakan sebelum menikmatinya bersama-sama.

“Lebih 100 ahli PERSIAP hadir memeriahkan Pesta Makan Durian ini. Selain menikmati pelbagai jenis durian, program ini turut menjadi ruang untuk berbincang mengenai perancangan dan aktiviti persatuan pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengarah Penjara Pahang, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Mohd Rusli Abd Rahman serta Timbalan Pengarah Penjara Penor, Penguasa Penjara (PP) Mohamad Hasnor Abd Hamid.

Beliau berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan suasana program berlangsung meriah dan penuh kekeluargaan, malah rata-rata ahli berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dianjurkan bagi mengukuhkan lagi hubungan dalam kalangan warga PERSIAP.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here