Home Buletin Semasa 9 WARGA CHINA DIDAKWA TERBABIT SINDIKET ‘LOVE SCAM’, MENGAKU TIDAK BERSALAH

9 WARGA CHINA DIDAKWA TERBABIT SINDIKET ‘LOVE SCAM’, MENGAKU TIDAK BERSALAH

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Sembilan lelaki warga China didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam kegiatan penipuan ‘Love Scam’ yang didakwa dilakukan awal bulan ini.

Kesemua tertuduh ialah Ye Binyu, 32; Yang Jie, 34; Xiang Hanghang, 33; Lin Zhixu, 30; Zhang Peng, 30; Huang Shihong, 31; Tan Qiao, 22; Tan Bo, 26; dan Li Mingrui, 27.

Mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama memperdaya mangsa menerusi sindiket ‘Love Scam’ di sebuah unit kondominium Muze PICC, Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas, kira-kira jam 6.10 petang pada 1 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affandi, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Ahmad Luthfillah Hadi.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, selain syarat tambahan supaya mereka melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam bela memohon jaminan dikurangkan dengan alasan kesemua anak guamnya memasuki Malaysia sebagai pelancong, mempunyai pekerjaan tetap di China dan memperoleh pendapatan antara RM1,800 hingga RM3,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bersama dua penjamin warga Malaysia, selain mematuhi syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here