KUALA LUMPUR: Lebih dua dekad membawakan watak Asistan Superintenden Polis (ASP) Salina dalam drama kepolisan Gerak Khas, pelakon Salina Saibi, 44, mengakui karakter itu kini menjadi identitinya sehingga masyarakat lebih mengenalinya sebagai anggota polis berbanding nama sendiri.
Memetik laporan Harian Metro, pelakon yang pernah memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam itu berkata, perjalanan panjang bersama watak berkenaan adalah sesuatu di luar jangkaannya.
“Saya antara yang paling lama dalam Gerak Khas. Saya sendiri tak sangka boleh bertahan sampai sekarang,” katanya.
Menurut Salina, dia pada awalnya tidak pernah menyangka akan menyertai drama ikonik itu, apatah lagi terus kekal membawa watak sama selama lebih 20 tahun.
“Saya memang minat gila Gerak Khas dari dulu. Bila dapat peluang masuk, memang tak sangka langsung,” katanya.
Tambahnya, perubahan watak daripada Inspektor kepada ASP merupakan perkembangan yang berlaku seiring perjalanan siri berkenaan, hasil kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Daripada Inspektor, sekarang jadi ASP. Semua ini hasil kepercayaan Datuk (Yusof Haslam) dan pasukan produksi,” ujarnya.
Salina berkata, watak lasak, tegas dan tangkas yang dibentuk dalam Gerak Khas turut menjadikan dirinya begitu sinonim dengan karakter anggota polis di mata penonton.
“Saya bangga sebenarnya pegang watak ini. Bukan semua orang dapat peluang macam ini,” katanya.
Mengimbas kembali penamatan siri asal Gerak Khas pada 2021, Salina mengakui ia satu detik yang cukup emosional selepas lebih 15 tahun bersama produksi berkenaan.
“Memang sedih juga bila tamat. Kami dah lama sangat bersama,” katanya.
Namun, katanya, hubungan rapat bersama penerbit Datuk Yusof Haslam serta seluruh produksi membuatkan dia tidak teragak-agak untuk kembali apabila ditawarkan menyertai Gerak Khas 2.0.
“Kami dah macam sebuah keluarga. Bila Datuk tawarkan, saya tak fikir panjang untuk kembali,” katanya.
Menurutnya, walaupun menerima tawaran daripada produksi lain, imej ASP Salina yang begitu kuat membuatkan dirinya lebih dikenali menerusi watak berkenaan.
“Orang jumpa saya pun panggil ASP Salina. Saya bangga sebab watak ini dekat dengan masyarakat,” katanya.
Salina berkata, dia akan terus memberikan yang terbaik selagi diberi kepercayaan untuk membawa watak itu.
“Bagi saya, ini bukan watak biasa. Saya akan jaga amanah ini sebaik mungkin,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






