Home Buletin Semasa DIPANDU APLIKASI NAVIGASI, LIMA WARGA CHINA TERJUNAM KE TAPAK PROJEK KULVERT DI...

DIPANDU APLIKASI NAVIGASI, LIMA WARGA CHINA TERJUNAM KE TAPAK PROJEK KULVERT DI MACHANG

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

MACHANG: Lima warga China cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam tapak projek pembinaan kulvert di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai, dekat sini, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Machang, Superitendan Azuhar Md Nor berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 12.01 tengah malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 11.50 malam pada Rabu, melibatkan sebuah Toyota Prius yang dipandu seorang lelaki warganegara China berusia 66 tahun bersama empat lagi penumpang yang juga warganegara China.

“Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Temangan, Machang menuju ke Tok Bali, Pasir Puteh dengan berpandukan aplikasi peta navigasi.

“Kenderaan tersebut dipercayai telah memasuki kawasan tapak projek pembinaan kulvert yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang awam sebelum terjatuh ke dalam gaung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua lima mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 66 tahun mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Machang untuk menerima rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.

Sehubungan itu, Azuhar menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa peka terhadap papan tanda amaran, kon keselamatan dan penghadang di kawasan kerja pembinaan serta tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi, khususnya ketika memandu pada waktu malam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat awal sehingga membolehkan tindakan pantas diambil bagi menyelamatkan mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Fatin Nurhanis Ibrahim di talian 09-9751222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here