Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Lebih 2,000 kakitangan dan pelajar Universiti Al-Quran Sultan Ahmad Shah (UNIQSAAS) memeriahkan Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M peringkat universiti yang berlangsung dalam suasana penuh semangat dan penghayatan nilai-nilai hijrah, di sini.
Sambutan bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati” itu turut disertai wakil Yayasan Amanah Tuanku Canselor (YATC), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Gudang Rasau serta Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP).
Naib Canselor UNIQSAAS, Profesor Datuk Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memperingati peristiwa agung penghijrahan Rasulullah SAW, malah menjadi platform untuk menyemai nilai perpaduan, ukhuwah, kesukarelawanan dan kecintaan terhadap syiar Islam dalam kalangan warga universiti serta komuniti.

“Antara pengisian utama program ialah perarakan membabitkan 27 kontinjen sejauh kira-kira dua kilometer, diikuti solat sunat Dhuha dan ceramah khas Maal Hijrah yang disampaikan oleh Dr. Maulana Juhari Muhammad Ali Al-Jenderaqi,”katanya.
Beliau berkata penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan UNIQSAAS dalam mengimarahkan syiar Islam serta membudayakan penghayatan nilai-nilai hijrah sebagai asas melahirkan insan yang cemerlang, berdaya saing dan berakhlak mulia, selaras dengan aspirasi universiti.
“Saya berpuas hati dengan sambutan Maal Hijrah kali ini yang berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian serta penyertaan lebih 2,000 kakitangan, pelajar dan tetamu jemputan.
“Selepas perarakan di sekitar kampus, program diteruskan dengan solat sunat Dhuha serta ceramah khas yang memberi pengisian rohani kepada semua peserta,” katanya.
Beliau berkata, pihak universiti akan terus memperkasakan penganjuran program seumpama itu pada masa hadapan dengan kerjasama pelbagai pihak bagi meningkatkan penglibatan komuniti setempat sekali gus mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat.
Katanya, UNIQSAAS juga akan memperbanyakkan program yang membabitkan pelajar dan kakitangan sebagai usaha memperkukuhkan kedudukannya sebagai sebuah universiti Al-Quran yang unggul di negara ini.
Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah dan saguhati kepada pemenang serta peserta sebagai penghargaan atas komitmen, kreativiti dan semangat kerjasama yang dipamerkan sepanjang menjayakan sambutan Maal Hijrah peringkat universiti.
IMedikel TV






