LONDON: Legenda Portugal, Maniche percaya bahawa Cristiano Ronaldo masih kekal sebagai pemain tidak boleh digantikan dalam skuad kebangsaan dan wajar berada dalam kesebelasan utama pada Piala Dunia 2026.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, walaupun penyerang itu semakin berusia, bekas rakan sepasukannya menegaskan bahawa masih tiada alternatif lebih baik ketika ini untuk menggantikan pemenang lima kali Ballon d’Or terbabit.
Ronaldo yang kini bersama kelab Al-Nassr sudah berusia 41 tahun ketika kejohanan dunia di Amerika Utara bermula, namun terus menunjukkan ketajaman di depan gol sama ada di Liga Pro Saudi mahupun bersama pasukan kebangsaan.
Bagi Maniche yang pernah beraksi bersama Ronaldo di Kejuaraan Eropah (EURO) 2004, pemilihan pemain veteran itu harus berdasarkan prestasi semasa, bukan semata-mata reputasi.
Bekas pemain tengah Chelsea dan Atletico Madrid itu turut menyatakan bahawa Portugal mempunyai ramai pemain berbakat dari segi teknikal, namun masih kekurangan penyerang yang benar-benar klinikal seperti Ronaldo.
Beliau turut menekankan tahap kecergasan dan disiplin profesional Ronaldo sebagai faktor utama yang membolehkan bintang itu kekal kompetitif di peringkat tertinggi walaupun sudah di penghujung karier.
“Saya tidak nampak penyerang lain yang lebih baik daripadanya,” kata Maniche kepada Flashscore ketika mengulas pilihan pemain yang ada kepada pengendali Roberto Martinez.
Beliau menyifatkan Ronaldo sebagai pemain ‘unik’ yang bukan sahaja mampu menjaringkan gol tetapi juga membuka ruang dan mencipta peluang untuk rakan sepasukan.
Situasi ini sekali gus menjadikannya elemen penting dalam kesebelasan utama Portugal yang mahu terus membina momentum prestasi terkini mereka. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






