Home Luar Negara PENUNJUK PERASAAN BERHIMPUN, BAKAR BANGUNAN DAN KENDERAAN

PENUNJUK PERASAAN BERHIMPUN, BAKAR BANGUNAN DAN KENDERAAN

55
0

BELFAST: Penunjuk perasaan anti-imigresen membakar bangunan dan kenderaan serta menyekat jalan raya di Belfast semalam iaitu sehari selepas seorang lelaki dipercayai pelarian Sudan menikam seorang individu dalam kejadian yang menggemparkan negara itu.

Wartawan AFP melaporkan ratusan penunjuk perasaan yang kebanyakannya bertopeng, berkumpul di beberapa lokasi di sekitar Belfast.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, dalam kejadian itu bas dan beberapa kereta dibakar, manakala bangunan berhampiran pusat bandar turut terbakar sehingga penghuninya terpaksa dipindahkan.

Seorang penduduk yang juga jurutera berasal dari India, Eemran, berkata keadaan mula menjadi tegang sekitar jam 7.30 malam waktu tempatan.

“Mereka mula membakar tong sampah. Kami terdengar bunyi siren dan kenderaan polis. Semakin ramai orang datang dan mereka mula membaling bom petrol.

“Tiba-tiba api mula marak. Asap memasuki bangunan sebelum anggota bomba datang seterusnya mengarahkan kami keluar,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Camila, 36, kejadian itu sangat menakutkan terutamanya beliau baru sebulan menetap di kawasan berkenaan.

“Sudah tentu saya tidak biasa dengan keadaan seperti ini. Saya faham kemarahan orang ramai, tetapi ada cara yang lebih aman untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

Saluran televisyen Sky turut menyiarkan rakaman beberapa bangunan lain yang terbakar.

Helikopter polis dilihat berlegar di ruang udara Belfast, manakala premis perniagaan ditutup lebih awal.

Menteri Pertama Ireland Utara, Michelle O’Neill, mengecam rusuhan itu dan menggesa orang ramai supaya bertenang.

“Kumpulan lelaki bertopeng yang membakar rumah adalah perbuatan pengecut yang amat menjijikkan. Isu perkauman, ugutan dan keganasan adalah salah walau di mana ia berlaku.

“Tiada alasan untuk serangan malam ini. Tiada siapa mahu melihat kejadian seperti ini berlaku di jalan raya kita,” katanya menerusi platform X.

Kumpulan penunjuk perasaan turut berhimpun di Antrim, kira-kira 25 kilometer di barat Belfast.

Sebelum itu, bilionair teknologi Amerika Syarikat (AS), Elon Musk, berkongsi semula hantaran aktivis anti-imigresen Stephen Yaxley-Lennon, atau Tommy Robinson, dengan menulis: “Hanya dengan bantahan yang berulang kali dan lantang, perubahan akan berlaku.”

Suspek serangan pisau itu, yang identitinya tidak didedahkan, didakwa semalam atas tuduhan cubaan membunuh, memiliki senjata tajam di tempat awam dan ugutan bunuh. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here