NEW YORK: Bintang Inter Miami dari Argentina, Lionel Messi muncul antara 11 pemain pertama yang diumumkan dalam skuad Major League Soccer (MLS) bagi aksi MLS All-Star di Charlotte, North Carolina bulan depan.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, barisan MLS itu, yang turut menampilkan sekurang-kurangnya lima pemain yang beraksi pada Piala Dunia, akan menentang pasukan bintang Liga MX dari Mexico pada 29 Julai.
Kesebelasan utama MLS dipilih menerusi gabungan undian pemain, penyokong dan media, serta menampilkan lima pemain dalam skuad Piala Dunia iaitu Messi, Son Heung Min dari Korea Selatan yang mewakili Los Angeles FC, pemain Amerika Syarikat (AS), Tim Ream (Charlotte) dan Sebastian Berhalter (Vancouver), serta pemain Afrika Selatan, Mbekezeli Mbokazi dari Chicago.
Turut tersenarai dalam kumpulan pertama pemain MLS All-Star adalah penjaga gol Nashville, Brian Schwake; pemain pertahanan Anthony Markanich (Minnesota United) dan Andy Najar dari Honduras yang mewakili Nashville; pemain tengah Zavier Gozo (Real Salt Lake) dan Hany Mukhtar dari Jerman yang bermain untuk Nashville; serta penyerang Belgium, Hugo Cuypers dari Chicago.
Mbokazi muncul pemain kedua Afrika Selatan dipilih ke skuad MLS All-Star selepas Doctor Khumalo pada 1996, manakala Heung Min pemain kedua Korea Selatan menerima penghormatan itu selepas jurulatih skuad kebangsaan negara berkenaan dan bekas pertahanan Los Angeles Galaxy, Hong Myung Bo pada 2003.
Skuad penuh MLS All-Star akan dilengkapkan dengan 13 pemain pilihan jurulatih Dean Smith dari kelab tuan rumah Charlotte, serta dua lagi pemain pilihan Pesuruhjaya MLS, Don Garber. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






