Kuala Lumpur : Hanya dalam tempoh dua hari selepas dilancarkan, lagu berjudul Ku Yang Berjuang dendangan Danial Kifli terus mencuri perhatian apabila berjaya melonjak ke tangga #3 carta trending di platform media sosial.
Memetik laporan menerusi Harian Metro namun, di sebalik kemanisan kejayaan luar biasa karya berkenaan, tersimpan sebuah naskhah air mata dan kisah hitam yang cukup berat daripada komposer lagu berkenaan, Jal Arya.
Jal Arya mendedahkan bait-bait lirik lagu itu adalah coretan kisah benar daripada detik paling gelap dalam hidupnya selepas terlibat dalam satu kemalangan tragis sehingga menyebabkan dirinya koma.
“Saya koma disebabkan kemalangan. Doktor beritahu yang saya tiada harapan untuk hidup. Namun, alhamdulillah, atas kuasa Allah saya masih hidup sehingga sekarang.
“Apabila saya sudah sedar dari koma, saya cari dia (kekasih), tapi dia sudah tiada. Dia ‘block’ (sekat) semua sosial media dan nombor telefon, dia hilang… Dia pergi waktu saya nazak…,” luahnya mengimbau memori duka itu.
Ujian yang terpaksa ditanggung Jal Arya ternyata bukan calang-calang apabila dia bukan sahaja perlu bertarung nyawa antara hidup dan mati, malah terpaksa menerima hakikat kehilangan insan paling dipercayai tanpa sebarang penjelasan.
Daripada episod penuh luka itulah lahirnya Ku Yang Berjuang, sebuah karya jujur yang menggambarkan realiti tentang kejatuhan, kehilangan dan usaha bangkit semula daripada fasa paling sukar dalam hidup.
Penyampaian vokal penuh emosi dan jujur daripada Danial Kifli ternyata berjaya menghidupkan roh lagu berkenaan sehingga ia begitu dekat di hati pendengar.
Di aplikasi TikTok pula rata-rata netizen mula mengaitkan melodi syahdu lagu itu dengan perjalanan hidup masing-masing. – HMetro Online –
IMedikel TV






