Home Hiburan AIDILADHA PILU TANPA ANDRE

AIDILADHA PILU TANPA ANDRE

KUALA LUMPUR: Tatkala umat Islam menyambut Aidiladha dengan penuh syukur dan kemeriahan, jiwa pelakon Amyza Aznan masih sarat menanggung rindu terhadap pemergian anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Izhar, tiga bulan lalu.

Memetik laporan Berita Harian, bagi Amyza, Aidiladha tahun ini hadir dengan suasana yang cukup berbeza apabila tiada lagi gelak tawa dan keterujaan Andre yang sebelum ini paling menantikan sambutan perayaan itu setiap tahun.

Amyza berkata, kehilangan arwah masih dirasai seluruh keluarga, apatah lagi Andre dan adiknya, Adrian Adam sangat menggemari sambutan Aidiladha yang diraikan dalam suasana penuh bermakna.

“Mungkin orang lain membuat persiapan biasa untuk hari raya kali ini, tetapi tetap meriah kerana diraikan bersama keluarga.

“Tapi bagi saya, persiapan itu tetap biasa, cuma kemeriahannya terasa kurang. Semestinya ada kekosongan apabila Allahyarham Andre tiada bersama,” katanya kepada BH Online.

Menurut Amyza, dia tetap bersyukur dapat berkumpul bersama keluarga tersayang, namun mengakui suasana Aidiladha kali ini tidak lagi sama seperti sebelumnya.

“Ia seperti ada sesuatu yang hilang. Sambut tetap sambut, tetapi perasaannya berbeza. Sukar untuk saya luahkan dengan kata-kata,” katanya.

Mengimbau kenangan lalu, Amyza berkata, Aidiladha adalah perayaan paling digemari anak-anaknya sejak kecil.

Katanya, arwah Andre sanggup bangun awal pagi semata-mata mahu melihat proses penyembelihan lembu bersama adik-beradik lain.

“Aidiladha memang perayaan paling disukai anak-anak. Dari kecil lagi, ayah mereka akan bawa melihat penyembelihan lembu dan mereka sangat suka.

“Andre, Adrian dan Ayden memang teruja setiap kali Aidiladha tiba.

“Saya juga pernah cakap kepada emak saya, Andre memang suka tengok lembu dilapah. Dia sanggup bangun pagi semata-mata mahu melihatnya.

“Tahun ini apabila dia sudah tiada, semua kenangan itu kembali bermain di fikiran. Keseronokan dan keterujaannya bersama adik-beradik lain kembali terimbau,” katanya.

Amyza berkata, kenangan itu akan terus kekal terpahat dalam ingatan seluruh keluarga kerana minat Andre terhadap sambutan Aidiladha tidak pernah berubah sejak kecil sehingga dewasa.

Dalam pada itu, Amyza berkata, rutin hariannya menziarahi pusara arwah Andre masih diteruskan sehingga hari ini.

“Macam biasa, saya akan melawat ‘istana’ Andre sebelum meneruskan rutin lain.

“Bagi saya, perkara paling penting adalah melawat ‘istananya’ terlebih dahulu sebelum berkumpul bersama keluarga,” katanya.

Amyza turut memaklumkan mereka pada awalnya merancang melaksanakan ibadah korban di luar negara seperti Thailand atau Vietnam, namun hasrat itu tidak dapat direalisasikan.

“Sebelum ini kami merancang mahu buat korban di luar negara, tetapi tidak berkesempatan kerana sukar mencari pihak yang menguruskannya.

“Jadi kami buat korban di dalam negara sahaja,” katanya.

Di sebalik kesedihan yang masih bersisa, Amyza turut berkongsi khabar gembira apabila dia dan Adrian, 18, diberi peluang menunaikan ibadah umrah.

Amyza menyifatkan peluang itu sebagai hadiah paling bermakna buat mereka sekeluarga sempena Aidiladha tahun ini.

“Ini berita paling manis sempena hari raya haji. Hadiah ini rasanya lebih mahal daripada apa sahaja,” katanya.

Menurut Amyza, tawaran itu hadir daripada pemilik sebuah syarikat pelancongan selepas membaca hantaran seorang jurusolek mengenai impian mereka untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Pada 23 Februari lalu, Amyza kehilangan anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Izhar, 20, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga sejak setahun lalu, manakala awal Februari lalu, Amyza turut berkongsi keadaan kesihatan Adrian yang disahkan menghidap kanser tulang. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here