PARIS: Juara dunia empat kali, Jerman berangkat ke Amerika Utara dengan tekad baharu selepas melalui tempoh suram sejak menjulang trofi Piala Dunia 2014 di Rio de Janeiro menerusi jaringan kemenangan masa tambahan Mario Goetze pada final di Stadium Maracana.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, sejak kejayaan itu, Jerman yang sentiasa dianggap pencabar utama kejohanan gagal menyerlah di pentas terbesar bola sepak dunia apabila menamatkan kempen mempertahankan kejuaraan di Russia 2018 di tangga tercorot kumpulan sebelum sekali lagi tersingkir awal di peringkat sama pada edisi di Qatar 2022.
Malah, Jerman hanya meraih dua kemenangan di Piala Dunia sejak muncul juara di Brazil iaitu ketika menewaskan Sweden dan Costa Rica.
Kini, cabaran baharu menanti skuad kendalian Julian Nagelsmann dalam Kumpulan E apabila bakal berdepan juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2023, Ivory Coast, Ecuador serta pasukan pendatang baharu, Curacao.
Sejak Nagelsmann mengambil alih pasukan dua tahun lalu, pengendali berusia 38 tahun itu berjaya mengubah wajah Jerman dengan kebangkitan beberapa pemain muda berbakat seperti Florian Wirtz dan Jamal Musiala, selain diperkuat tonggak berpengalaman Joshua Kimmich serta Antonio Rudiger.
Mereka mara ke suku akhir Euro 2024 di laman sendiri sebelum melangkah ke separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA tahun berikutnya, namun tewas kepada juara kejohanan masing-masing iaitu Sepanyol dan Portugal.
Ancaman terbesar Jerman dalam Kumpulan E dijangka hadir daripada Ivory Coast yang kembali ke pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 2014.
Walaupun era kegemilangan Didier Drogba serta adik-beradik Yaya dan Kolo Toure sudah berakhir, skuad kendalian Emerse Fae masih memiliki beberapa pemain berkualiti seperti Nicolas Pepe, Amad Diallo dan Wilfried Zaha.
Selepas gagal mempertahankan kejuaraan AFCON apabila tersingkir di suku akhir kepada Mesir musim sejuk lalu, Ivory Coast hadir ke Piala Dunia buat kali keempat dengan peluang terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati selepas sekadar menamatkan kempen di tempat ketiga kumpulan dalam tiga edisi berturut-turut dari 2006 hingga 2014. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






