KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian sejak memulakan karier lakonan seawal usia 10 tahun pada 2003, Aedy Ashraf melalui pelbagai cabaran termasuk sepak terajang dunia seni yang membentuk siapa dirinya hari ini.
Aedy yang mencuri perhatian menerusi filem Tentang Bulan pada 2006 melangkah setapak lagi dalam karier apabila membuka lembaran baharu sebagai penerbit menerusi filem aksi, Tarung: Unforgiven.
Jejaka berusia 33 tahun itu kini menggalas tanggungjawab lebih besar apabila terbabit secara langsung dalam proses perkembangan idea, penerbitan hingga pemasaran karya berkenaan, lantas memperlihatkan sisi kematangannya sebagai anak seni.
Menurut Aedy, pengalaman menerbitkan filem sulung itu mengajarnya mengenai nilai perjuangan, kesabaran dan keberanian untuk terus melangkah walaupun berdepan pelbagai kesukaran sepanjang proses pembikinan.
“Saya fikir terbitkan Tarung: Unforgiven mengajar saya bahawa walau sesukar manapun sesuatu perkara itu, kita tetap perlu melaluinya.
“Pilihan selain menghadapinya hanyalah mengalah dan pada saya, mengalah adalah jalan paling mudah. Tetapi untuk terus melangkah itu bukan mudah.
“Bukan sekadar cakap, hakikatnya, ia memang sangat sukar. Namun, sekurang-kurangnya saya belajar satu nilai yang sangat mahal sepanjang menerbitkan filem ini,” katanya kepada BH Online.
Aedy atau nama sebenar, Mohammad Addy Ashraf Rosmadi mengakui dirinya lebih bersedia menerima apa sahaja reaksi penonton terhadap filem berkenaan selepas dibelenggu tekanan dan rasa takut.
“Saya fikir sekarang saya sudah bersedia. Sebelum ini saya takut, tetapi selepas filem ditayangkan, saya sudah ubah cara fikir.
“Apa sahaja yang orang mahu katakan selepas ini, saya tidak ada kawalan terhadap perkara itu. Saya hanya mampu berdoa dan teruskan pemasaran filem ini,” katanya.
Mengulas pengalaman bergelar penerbit, Aedy berkata, tanggungjawab itu membuka peluang untuk dirinya mencipta karakter yang selama ini diimpikan sebagai pelakon.
Menurutnya, sebagai penerbit dia ada ruang lebih besar untuk menghasilkan karya dan watak yang diinginkan, selain membantu membuka peluang kepada pelakon lain.
“Menjadi penerbit membuka satu perkara untuk saya, iaitu sebagai penerbit, kita boleh mencipta karakter yang kita sendiri mahu lakonkan.
“Malah, apa yang diketengahkan dalam filem ini adalah sebahagian daripada karakter yang saya sudah lama teringin hendak bawa.
“Saya akan cipta lebih banyak karakter selepas ini, bukan sahaja untuk saya tetapi mungkin juga untuk pelakon lain kerana setiap orang melihat sesuatu dari sudut berbeza,” katanya.
Aedy mewarisi bakat lakonan daripada ibu yang juga aktres veteran terkenal, Liza Zain.
Aedy pernah dicalonkan sebanyak dua kali dalam Festival Filem Malaysia (FFM), iaitu untuk edisi ke-20 bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada 2007 dan edisi ke-34 bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, tahun lalu. – BH Online –
IMedikel TV






