Home Sukan YUSRI TERKEJUT AKSI LONGLAI DIPERAGAKAN TFC

YUSRI TERKEJUT AKSI LONGLAI DIPERAGAKAN TFC

13
0

KUALA TERENGGANU: Pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah akui terkejut dengan corak permainan Terengganu FC (TFC) yang dilihat merudum biarpun beraksi di tempat sendiri.

Memetik laporan Harian Metro, pada masa yang sama bekas pemain kebangsaan itu juga tergamam melihat corak permainan anak buahnya yang bangkit daripada ketinggalan sebelum merakam kemenangan 3-1 dalam perlawanan penting Liga Super itu.

“Sepanjang menjadi jurulatih, kemenangan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada malam ini (malam tadi) adalah kali pertama dapat diraih kerana stadium ini sememangnya agak sukar untuk meraih kemenangan.

“Sebenarnya saya tidak impikan tiga mata pada perlawanan ini kerana tahu kesukaran untuk mendapatkan mata di sini, tapi persembahan bertenaga anak buah yang beraksi di luar jangkaan sebab saya tahu mereka agak kepenatan membolehkan kami meraih mata penuh.

“Pada masa sama sejujurnya saya juga agak terkejut dengan corak permainan TFC kerana tahu kekuatan mereka, biasanya pemain tempatan mereka jauh lebih baik kerana mereka sudah lama bersama berbanding kami, lagipun mereka berjaya ikat Johor Darul Ta’zim dan Selangor sebelum ini,” ujar Yusri ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam tadi. 

Bagaimanapun Yusri tidak menyembunyikan perasaan kecewa apabila anak buahnya melepaskan gol mudah pada awal permainan itu akibat kealpaan diri sendiri.

“Kelekaan awal permainan sedikit-sebanyak menghantui pasukan kami kerana pemain membiarkan pasukan lawan mendahului.

“Harap perlawanan terakhir tidak akan berlaku lagi, sebaliknya fokus untuk memburu kedudukan terbaik liga kerana kami mahu penutup tirai yang bermakna pada musim ini biarpun sasaran awal ketujuh liga,” katanya.

Pada perlawanan itu, TFC terlebih dahulu menembusi gawang pelawat menerusi jaringan Careca sebelum pertahanan tuan rumah, Diego Landis menghadiahkan jaringan sendiri kepada skuad The Mighty Tigers itu sebelum dua jaringan lagi menerusi sepakan penalti Wilmar Jordan dan rembatan Eduardo Sosa.

Berdasarkan carta liga, Imigresen kini menghuni di tangga keenam dengan mengumpul 31 mata manakala TFC kelima dengan 33 mata dengan masing-masing berbaki satu perlawanan lagi.-HMetro Online-

IMedikel TV   

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here