KUALA LUMPUR: Penyanyi, Idayu, 41, mengakui pernah berdepan fasa ingin berundur daripada dunia nyanyian, namun memilih untuk terus bertahan hasil dorongan suami.
Memetik laporan Berita Harian, pada saat semangat hampir rapuh, dorongan suami menjadi tali yang mengikatnya untuk terus berdiri, sekali gus membuka lembaran baharu menerusi karya terbaharu berjudul Mahal.
Idayu atau nama sebenar, Nur Farah Idayu Yaakob berkata, niat untuk mengalah bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama terpendam dalam dirinya.
“Hendak ‘give up’ itu memang lama, dari dahulu saya cakap saya hendak ‘give up’. Tetapi disebabkan saya ada suami yang juga bergiat dalam bidang muzik dan sentiasa sokong, saya teruskan.
“Suami kata, buat sahaja. Kita tidak tahu bila kita berada di atas. Sekarang, mungkin kita di bawah, jadi teruskan usaha,” katanya ketika ditemui pada sesi santai mempromosikan lagu Mahal di sini, baru-baru ini.
Menurut penyanyi yang pernah menjuarai AF Megastar pada 2017 itu, lagu Mahal menjadi simbol kepada usaha dan ketekunannya dalam terus bertahan dalam industri muzik.
Idayu berkata, single itu sebenarnya sudah dirakam sejak dua tahun lalu, namun pada awalnya, dinyanyikan secara solo tanpa mengetahui siapa pasangan duetnya.
“Selepas dengar demo, saya terus jatuh cinta. Ketika itu, Iskandar Ismail masih bersaing dalam musim ke-12 Gegar Vaganza (GV12).
“Saya tanya komposer, Farouk Roman, dengan siapa saya akan berduet, tetapi dia minta tunggu. Apabila digabungkan dengan Iskandar, hasilnya memang terbaik,” katanya.
Idayu berkata, selepas lebih dua dekad dalam industri muzik, populariti bukan lagi keutamaan utama dalam pemilihan rakan duet.
“Saya cari kepuasan dalam nyanyian. Saya tak mahu lagu sekadar cukup ‘pitch’ atau tempo.
“Apa yang paling penting adalah rasa. Kita hendak pikat pendengar. Iskandar adalah antara penyanyi yang mampu beri rasa itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Idayu tidak menolak harapan agar lagu Mahal, yang juga runut bunyi drama Mencari Isteri Sempurna, mampu melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).-BH Online-
IMedikel TV






