Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Perubahan pada kuku bukan sekadar isu kosmetik, sebaliknya boleh menjadi petunjuk awal kepada pelbagai masalah kesihatan dalaman yang memerlukan perhatian segera.
Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah kuku pucat. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan masalah anemia atau kekurangan darah, terutama jika disertai gejala mudah letih dan lemah.
Selain itu, kuku yang berubah menjadi kuning, menebal dan rapuh berkemungkinan menandakan jangkitan kulat. Jangkitan ini lazim berlaku dalam keadaan kuku yang lembap atau kurang penjagaan kebersihan, dan rawatan awal penting bagi mengelakkan jangkitan menjadi lebih serius.
Kuku yang melengkung ke atas atau berbentuk cekung pula boleh menjadi tanda kekurangan zat besi dalam jangka masa panjang. Kekurangan zat ini sering dikaitkan dengan pemakanan tidak seimbang dan boleh menjejaskan tahap tenaga serta kesihatan keseluruhan.

Kemunculan garis-garis pada kuku juga tidak boleh dipandang ringan. Ia mungkin menunjukkan kekurangan nutrisi penting seperti protein, vitamin atau mineral. Pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan kuku kekal baik.
Lebih membimbangkan, garis hitam atau coklat gelap pada kuku yang tidak hilang perlu diperiksa oleh doktor kerana berpotensi menjadi tanda melanoma, iaitu sejenis kanser kulit yang serius. Pemeriksaan awal mampu meningkatkan peluang rawatan yang berkesan.
Dalam pada itu, kuku yang mempunyai lubang-lubang kecil pada permukaannya sering dikaitkan dengan psoriasis, iaitu penyakit autoimun yang menjejaskan kulit dan kuku.
Sehubungan itu, orang ramai disarankan agar tidak mengabaikan sebarang perubahan pada kuku. Pemeriksaan kesihatan secara berkala dan amalan pemakanan seimbang mampu membantu mengesan serta mencegah komplikasi lebih serius pada peringkat awal.
Individu yang mengalami perubahan warna kuku secara ketara dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti puncanya.- SUMBER –
IMedikel TV






