Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Melaka berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, Dr Mohd Radzi memiliki pengalaman luas dan kepimpinan yang mampu membina kekuatan dalam kalangan pemimpin baru, termasuk anak muda dan golongan profesional yang komited kepada idealisma perjuangan BERSATU.
“Tugas utama beliau ialah untuk menyusun semula struktur bahagian-bahagian BERSATU di negeri Melaka dalam kalangan pemimpin tempatan termasuk anak muda dan golongan profesional dalam masa terdekat.
“Pasukan kepimpinan yang baharu diyakini akan meneruskan perjuangan rakyat dan menjana kekuatan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka pada hujung tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik pada Selasa mengumumkan melepaskan jawatan Ketua Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.
IMedikel TV






