JAKARTA: Ketegangan tercetus di Istana Solo, Jawa Tengah apabila dua beradik berlainan ibu berebut takhta, lapor The Straits Times.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, konfrontasi memuncak pada 18 Januari apabila Menteri Kebudayaan, Fadli Zon melawat istana untuk menyampaikan dekri kementerian yang melantik Putera Tedjowulan sebagai pemangku raja bagi pemeliharaan dan pemulihan Keraton Surakarta.
Difahamkan, Putera Tedjowulan menjadi pemangku raja sejak kematian abang sulungnya, Raja Pakubuwono XIII, pada November 2025, sementara menunggu pemasyhuran raja baharu.
Menurut media sama, puak yang bersaing membawa tangga untuk memaksa membuka pintu istana, manakala penyokong kedua-dua pihak saling tolak-menolak sehingga polis terpaksa campur tangan bagi mengekalkan ketenteraman.
Acara itu berakhir tanpa penyerahan rasmi, mencerminkan perpecahan dalam istana.

The Straits Times melaporkan Raja Pakubuwono XIII memerintah Solo selama dua dekad. Selepas kematiannya, kedua-dua anaknya daripada isteri berbeza menuntut hak sebagai pewaris sah.
Dalam pada itu, kerajaan cuba menjadi perantara pertelingkahan keluarga itu pada 16 Januari lalu.
Difahamkan, Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, bertemu kedua-dua putera serta Putera Tedjowulan untuk membincangkan hal ehwal bandar dan istana.
Putera Purbaya, anak bongsu, mendakwa beliau adalah pewaris sah dan sudah dinamakan putera mahkota pada 2022, disokong kedudukan ibunya sebagai permaisuri.
Anak sulung, Putera Hangabehi pula, menuntut hak sebagai anak sulung dan mendapat sokongan Lembaga Dewan Adat (LDA), yang mengawal akses ke dewan upacara istana.
Sementara itu, sejak kematian bapa mereka, Putera Purbaya menjalankan upacara istana dan perarakan di Solo untuk menunjukkan kuasa diraja, serta menyerahkan dokumen rasmi kepada masjid bagi meneguhkan kesetiaan atau kesinambungan diraja.
Persaingan keluarga turut dipengaruhi oleh Putera Tedjowulan dan Puteri Moeng (yang sebelum ini menentang pelantikan Tedjowulan. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






