Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 berkuat kuasa esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata, perlantikan beliau diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Pelantikan itu turut melibatkan kenaikan pangkat beliau ke pangkat Jeneral dan dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu.
“Syor berkenaan kemudiannya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2026,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya Malek memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Master of Arts in Defence Studies dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.
“Malek memulakan perkhidmatan ketenteraan pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 11 Disember 1987.
“Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi.
“Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan kemudiannya berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf.
“Jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat,”katanya.
Mohamed Khalied berkata berdasarkan berpengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki beliau diyakini mampu memperkukuh kepimpinan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran pertahanan negara.
“Pelantikan itu juga dijangka dapat memulihkan serta memperkasa wibawa ATM melalui kepimpinan berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,”katanya.
IMedikel TV






