Oleh Atiqah Ismail & Rozak Hadi@IMedikel TV
PASIR GUDANG: Usaha memupuk gaya hidup sihat dan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Sekolah Menengah Kebansaan Kota Masai (SKOMAS) Fit Run peringkat Daerah Pasir Gudang digabungkan bersama Merentas Desa peringkat SMK Kota Masai.
Pengetua SMK Kota Masai, Subramaniyan Dorasamy, berkata program seperti itu memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang kepentingan kesihatan dan penglibatan aktif dalam aktiviti luar bilik darjah.
“Penganjuran program bertujuan memupuk amalan gaya hidup sihat di samping membentuk disiplin, ketahanan diri dan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar.
“Penyertaan menyeluruh pelajar mampu meningkatkan keyakinan diri serta memupuk semangat kerjasama dan persaingan sihat di samping berfungsi sebagai platform mengenal pasti bakat sukan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,”katanya.
Beliau berkata program itu berlangsung dengan jayanya pada 24 Januari lalu di perkarangan Jalan Bacang, Taman Kota Masai dan menjadi pembuka bagi aktiviti kokurikulum pada tahun ini.

“Acara dimulakan seawal 7.00 pagi dengan sesi pemanasan badan sebelum peserta dilepaskan mengikut kategori yang ditetapkan oleh jawatankuasa penganjur.
“Trek larian 8kilometer (km) dan 6km menjadi cabaran utama dan keberadaan QM serta guru di setiap checkpoint adalah untuk memastikan kelancaran sepanjang peserta membuat larian,”katanya.
Dalam pada itu, Kejohanan Olahraga Tahunan akan dianjurkan pada 11 Februari ini sebagai kesinambungan usaha melahirkan pelajar yang cergas dan seimbang.
“Kami akan terus menyokong kemenjadian pelajar melalui aktiviti kokurikulum dan melestarikan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai aspek dan bidang,”katanya.
IMedikel TV






