BANGKOK: Lapangan terbang di beberapa negara Asia mula memperketatkan pengawasan kesihatan dan saringan perjalanan susulan penularan wabak virus Nipah di sebuah wilayah di India, lapor Independent.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Thailand, Nepal dan Taiwan antara negara serta wilayah yang meningkatkan langkah berjaga-jaga selepas lima kes virus Nipah disahkan di Bengal Barat, India, baru-baru ini.
Virus nipah adalah penyakit zoonotik yang boleh menular kepada manusia terutamanya daripada babi dan kelawar yang dijangkiti tetapi ia juga tersebar melalui kontak rapat antara manusia.
Di Bengal Barat, kira-kira 100 individu kini dikuarantin selepas virus itu dikesan di sebuah hospital membabitkan seorang doktor, jururawat dan kakitangan yang disahkan positif.
Di Thailand, Kementerian Kesihatan Awam meningkatkan saringan kesihatan di lapangan terbang utama bagi penumpang yang tiba dari Bengal Barat dengan menggunakan teknik saringan pandemik Covid-19.
Penumpang di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Don Mueang dan Phuket kini dipantau bagi mengesan gejala demam selain diberikan kad amaran kesihatan sebagai panduan perjalanan.
Pegawai kesihatan turut meningkatkan kerja-kerja pembersihan dan kesiapsiagaan kawalan penyakit di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket yang menerima penerbangan terus setiap hari dari Kolkata.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, walaupun tiada kes direkodkan di dalam negara setakat ini, tahap pengawasan di semua pintu masuk akan kekal tinggi.
Selain lapangan terbang, saringan lebih ketat turut diarahkan di kawasan gua dan pusat pelancongan semula jadi bagi mengurangkan risiko jangkitan daripada habitat kelawar.
Di Nepal, kerajaan meningkatkan tahap amaran dan memperhebatkan pemeriksaan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan serta pintu sempadan darat utama yang bersempadan dengan India.
Sementara itu, pihak berkuasa Taiwan merancang menyenaraikan jangkitan virus Nipah sebagai penyakit perlu lapor Kategori 5 iaitu klasifikasi tertinggi bagi jangkitan baharu yang serius.
Langkah berkenaan diambil memandangkan virus itu mempunyai kadar kematian yang tinggi iaitu antara 40 hingga 75 peratus bergantung kepada jenis strain yang terbabit.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan virus Nipah sebagai patogen keutamaan kerana potensinya mencetuskan epidemik dengan simptom seperti radang otak dan masalah pernafasan akut. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






