Oleh: Nur Athirah Azman @ IMedikel TV
BACHOK: Penantian seorang warga emas untuk memiliki rumah sendiri akhirnya berhasil apabila permohonan rumah Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang diusahakan sejak dua tahun lalu diluluskan, selepas beliau memperoleh kad pengenalan pada usia 58 tahun.
Shaharuddin Basir, 59, dari Kampung Keting, Gunong, di sini, menyifatkan kelulusan tersebut sebagai titik perubahan besar dalam kehidupannya selepas puluhan tahun berdepan kesukaran tanpa dokumen pengenalan diri.

“Saya sudah memohon hampir dua tahun, namun permohonan tidak diluluskan kerana tiada kad pengenalan.
“Alhamdulillah, permohonan kali ketiga akhirnya berjaya selepas saya memperoleh kad pengenalan, sekali gus merealisasikan impian untuk memiliki rumah sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menerima Replika Kunci Rumah MAIK pada majlis yang berlangsung di Masjid Jamek Mahmoodi, di sini, hari ini.
Shaharuddin yang bekerja sebagai pesawah berkata, pendapatan bulanannya tidak menentu, sekitar RM1,500 sebulan dan beliau perlu menanggung empat anak yang masih kecil manakala enam lagi sudah bekerja.
“Saya bersama isteri, Mariani Abdul Rahman, 39, serta empat orang anak akan mula mendiami rumah tersebut pada bulan ini,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, MAIK telah meluluskan sebanyak 215 buah rumah kepada golongan asnaf di seluruh Kelantan dengan peruntukan sebanyak RM14.9 juta pada tahun lalu.

Menurutnya, kos pembinaan sebuah rumah adalah antara RM65,000 hingga RM80,000 bergantung kepada bilangan ahli keluarga penerima.
“Rumah tiga bilik bernilai RM65,000, empat bilik RM73,000 manakala rumah lima bilik bernilai RM80,000.
“Pemilihan penerima dibuat melalui kerjasama MAIK bersama Pejabat Tanah dan Jajahan serta maklumat yang disalurkan oleh penghulu atau penggawa,”katanya.
Terdahulu, Tengku Mohamad Rizam turut menyampaikan sumbangan Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM150 kepada 210 pelajar dari Masjid Mukim Zon Bachok serta Replika Kunci Rumah kepada 24 penerima pada majlis berkenaan.
IMedikel TV






